Thursday, April 25, 2024
29.9 C
Brunei

    -

    27 belia tamat Program Literasi Penerangan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 SEPT – Seramai 27 orang belia dari Penggerak Belia Daerah Tutong IMPAK dan belia-belia masjid di bawah Mukim Pekan Tutong telah menamatkan program sekali gus menerima sijil penyertaan dalam Majlis Penyampaian Sijil Program Literasi Penerangan yang berlangsung di Auditorium Jabatan Penerangan, hari ini.

    Hadir untuk menyempurnakan penyampaian sijil kepada para peserta program ialah Pemangku Pengarah Penerangan, Dayang Siti Bismi Nuruliman binti Haji Awang Emzah.

    Atur cara pada hari terakhir program berkenaan dimulakan dengan taklimat daripada Ketua Pegawai Operasi Sukarelawan Belia, Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Awang Muhammad Amirul Syazmie bin Ibrahim yang bertajuk, Perkembangan Gerakan Sukarelawan di Negara Brunei Darussalam.

    Beliau menerangkan mengenai kerja dan prinsip sebagai sukarelawan yang secara langsung dapat mengeratkan silaturahim, membantu masyarakat menimba pengalaman, ilmu, dan mendapatkan pahala serta mengisi masa lapang.

    Taklimat seterusnya bertajuk Indahnya Bahasa Isyarat yang disampaikan oleh Dunstan Chua Siew Fah dari Persatuan Orang Kurang Pendengaran (OKP) Kebangsaan, di mana taklimat bertujuan memahami konsep inclusivity dengan belajar bahasa isyarat bersama Persatuan OKP.

    Dayang Siti Bismi Nuruliman bergambar ramai dengan para peserta Program Literasi Penerangan yang berlangsung di Auditorium Jabatan Penerangan, kelmarin.

    Beliau juga menerangkan bahasa isyarat di Brunei adalah berbeza dari luar negara dari sudut budaya.

    Para peserta juga didedahkan kepada abjad dan nombor serta diberikan latihan dan aktiviti-aktiviti ringkas.

    Taklimat terakhir adalah mengenai jenayah siber yang disampaikan oleh Jurulatih Kesedaran Sekuriti Siber, Dayang Siti Nor Izuana binti Ayob di mana beliau antara lain menyentuh mengenai perkongsian maklumat peribadi secara dalam talian boleh digunakan oleh penjenayah siber dengan mengeksploitasikannya dengan mudah untuk melakukan jenayah terancang.

    Melalui taklimat itu juga, para peserta didedahkan kepada pelbagai isu yang berkaitan dengan jenayah siber dan penggunaannya dengan media sosial untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai bahaya penyalahgunaan teknologi media sosial, seperti buli siber dan penipuan dalam talian atau scamming atau phishing serta peras ugut.

    Sebelum majlis penyampaian sijil, peserta berpeluang mengadakan lawatan ke Galeri Lentera Makmur dan Bahagian Pelita Brunei, Jabatan Penerangan.

    Program Literasi Pene-rangan merupakan salah satu inisiatif Jabatan Penerangan untuk membantu kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sebagai media rasmi kerajaan, melalui pendekatan seluruh negara dan seluruh kerajaan, memberigakan dasar baharu belia di negara ini.

    Di samping itu, ia juga bagi mendedahkan golongan belia kepada maklumat-maklumat yang boleh membantu mereka untuk memajukan diri yang secara tidak langsung akan membantu negara ke arah mencapai salah satu matlamat wawasan negara 2035 iaitu mempunyai kualiti kehidupan yang tinggi.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...