Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JAN – Seramai 27 orang pelajar yang mewakili sekolah-sekolah menengah kerajaan dan swasta yang menuntut di Tahun 11 menyertai program Kem Asuhan Minda Belia 2023 yang berlangsung di Pusat Belia Bandar Seri Begawan.
Kem berkenaan berlangsung selama empat hari tiga malam bermula pagi tadi dan akan dijadualkan berakhir pada 27 Januari depan.
Antara objektif program adalah bagi mengisi masa lapang belia khususnya yang sedang menunggu keputusan peperiksaan O Level dan memberikan peluang kepada para peserta berinteraksi melalui aktiviti jati diri, alam sekitar, kerohanian dan kepimpinan serta bagi menanam sikap saling membantu dalam mengendalikan sesuatu aktiviti atau cabaran yang dilalui di sepanjang berlangsungnya program berkenaan.
Selain itu, dengan adanya program seumpama itu, ia diharap dapat memberi peluang kepada para peserta mengadakan perbincangan dan pembentangan kajian di luar sekolah sebagai salah satu cara pembelajaran informal.
Antara pengisian program termasuk aktiviti Bedudun Ke Kampung, Kongsi Pengalaman Dengan Pemimpin Daulu, Kembara Malam, Kerja Kumpulan, Pembentangan Kumpulan dan seumpamanya.
Diharapkan melalui kem itu para peserta akan dapat menjadi seorang yang proaktif, berinisiatif dan kreatif serta berani menyuarakan pendapat di samping membentuk rangkaian persahabatan secara informal dan menjadi agen perubahan kebaikan kepada sekolah masing-masing.