27 tamat program kepimpinan LiveWIRE

Oleh Normazlina M.D

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Dis – Seramai 27 orang pelajar Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) yang merupakan peserta program Bantuan Keusahawanan Yayasan
Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan usahawanan telah berjaya menamatkan Program Perkhemahan Kepimpinan LiveWIRE selama tiga hari di Trandie Marina Resort, Temburong, baru-baru ini.

Program perkhemahan yang bermula pada 23 November itu diadakan dengan tujuan untuk memupuk nilai-nilai kepimpinan dalam diri peserta dan menyelidiki sifat-sifat positif dan negatif individu melalui proses penilaian sendiri.

Semasa program tersebut dijalankan, para peserta telah didedahkan kepada elemen semula jadi dan meneroka ciri-ciri kepimpinan menerusi sesi teoretikal dan praktikal.

Semasa sesi teori, Penasihat Senior Perniagaan LiveWIRE, Pengiran Redzuan dan Awang Mohd Fadhilullah Tudun bin Haji Hassan berkongsi mengenai konsep psikologi.

Para peserta juga diminta untuk melihat semula situasi pada masa lalu di mana mereka boleh mengaplikasikan konsep tersebut sebagai pengajaran pada masa akan
datang.

Selain itu, para peserta juga mengikuti sesi praktikal termasuk trekking hutan, kursus berkayak dan halangan bagi melihat sejauh mana kemampuan mereka dalam memimpin dan memotivasikan antara satu dengan yang lain dalam sesebuah pasukan.

Gambar ramai para peserta Program Bantuan Keusahawanan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan usahawan yang berjaya menamatkan Program Perkhemahan Kepimpinan LiveWIRE di Trandie Marina Resort, Temburong, baru-baru ini.