Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 MEI – Sebanyak 278 projek pelajar tahun akhir Universiti Teknologi Brunei (UTB) dikumpulkan dalam Pameran Projek 2022 anjuran Sekolah Perniagaan (UTB-SB) yang berlangsung di Dewan Serbaguna dan Blok Kejuruteraan Biasa, Fasa 3 di universiti tersebut, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Naib Canselor UTB, Profesor Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman bagi merasmikan pameran bertemakan ‘Transformation through Project Experimentation’ serta diselajurkan dengan lawatan ke petak-petak pameran.
Dalam pameran tersebut, sebanyak 70 projek tahun akhir dengan 11 projek reka bentuk secara berkumpulan telah dipamerkan oleh Fakulti Kejuruteraan. Sementara itu, kira-kira 30 projek pula telah diketengahkan oleh Sekolah Matematik dan Sains Gunaan.
Manakala itu, Sekolah Reka Bentuk menampilkan sebanyak 36 projek dan 60 projek telah dihasilkan oleh Sekolah Pengkomputeran dan Informatik. Sebanyak 71 projek lagi telah dijayakan oleh pelajar dari UTB-SB.
Acara pameran berkenaan telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Dekan, UTB-SB, Dr Mohamed Saleem Haja Nazmudeen, juga selaku pengerusi pameran tersebut.
Dr Mohamed Saleem dalam ucapannya, merakamkan kesyukuran dengan adanya pameran sedemikian, ia dapat mewujudkan platform bagi para mahasiswa dan mahasiswi untuk menunjukkan hasil kerja mereka dalam mempraktikkan pengetahuan dan teknik yang telah dipelajari bersama golongan pendidik dalam menghasilkan projek-projek yang berkualiti dengan inovasi yang tersendiri.
“Kebanyakan projek dalam pameran hari ini mewakili produk yang memiliki potensi komersial dan kesemuanya menunjukkan kepintaran, kemahiran dan keupayaan teknikal yang berkaliber tinggi,” jelasnya.
Selain itu, UTB sebagai universiti teknologi sentiasa menekankan projek gunaan berimpak tinggi di mana ini jelas terbukti dengan menyaksikan keseluruhan pameran projek berkenaan membentuk pelbagai disiplin yang bermanfaat kepada pihak berkepentingan dan juga masyarakat amnya, tambah beliau.
Sementara itu, turut hadir pada acara berkenaan ialah pegawai-pegawai utama UTB, tetamu jemputan dari agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi, sekolah-sekolah, rakan kongsi industri, para kakitangan, mahasiswa dan mahasiswi universiti.
Acara tersebut turut diserikan dengan The People’s Choice Award bagi mengiktiraf dan menghargai usaha yang dilakukan oleh para pelajar dalam projek mereka. Melaluinya, para pengunjung diminta untuk melakukan undian projek kegemaran mereka pada acara berkenaan di mana projek dengan jumlah undian terbanyak akan memenangi anugerah tersebut.