278 rekrut ABDB tamat latihan

Oleh Yusrin Junaidi

Gambar oleh Hakim Hayat

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OGOS – Seramai 221 rekrut lelaki Pengambilan ke-164 dan seramai 57 anggota rekrut wanita Pengambilan ke-55 Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) telah berjaya menamatkan latihan asas ketenteraan dan diraikan dalam Upacara Perbarisan Tamat Latihan di Padang Kawad Institut Latihan ABDB (IL ABDB), Penanjong Garison.

Rekrut lelaki telah menjalani latihan selama 31 minggu manakala itu, rekrut wanita selama 21 minggu.

Pegawai menerima tabik hormat bagi upacara perbarisan itu ialah Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, Dato Paduka Haji Mohd Nor bin Haji Jeludin.

Turut hadir ialah Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan bin Pengiran Haji Mahmud, pemerintah-pemerintah angkatan tentera, para pengarah, timbalan pemerintah angkatan tentera, komandan-komandan, pegawai kanan, pegawai dan anggota ABDB serta para ibu bapa, keluarga dan sahabat rekrut yang diraikan.

Semasa upacara tersebut, Dato Paduka Haji Mohd Nor telah memeriksa perbarisan dan menyampaikan anugerah kepada jurulatih-jurulatih dan rekrut yang telah menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang latihan dijalankan.

Para penerima anugerah rekrut lelaki ialah 17731 Sarjan (U) Mohd Ismasharil bin Haji Ismail bagi Platun Sarjan Lelaki Terbaik; 19701 Koperal (U) Muhammad Asri bin Haji Mahari bagi Jurulatih Lelaki Terbaik; 52997 Rekrut Mohammad Marzuq Hafizamudin bin Maarof bagi Rekrut Lelaki Terbaik Keseluruhan; 53152 Rekrut (L) Muhammad Rafiyaddin bin Haji Rosman bagi Rekrut Terbaik Senjata Ringan; 53142 Rekrut (L) Muhammad Zharfan bin Zohar bagi Latihan Jasmani Terbaik; dan 52970 Rekrut Muhd Haziq Saufee @ Sukri bin Haji Asli bagi Kemahiran Tentera Terbaik.

Manakala itu, penerima-penerima anugerah bagi rekrut wanita ialah 21216 Sarjan Norbaya binti Haji Abdul Hadi bagi Platun

Sarjan Wanita Terbaik; 21424 Koperal Sahnizan binti Haji Matsah bagi Jurulatih Wanita Terbaik; 22072 Rekrut Nurmasrinah@Didik Adinah binti Maslan bagi Rekrut Wanita Terbaik Keseluruhan; 22047 Rekrut (L) Asrianna Habriyah binti Abdullah Azrin bagi Senjata Ringan Rekrut Terbaik dan Kemahiran Tentera Terbaik; 22065 Rekrut Nur Amani ’Akmal Amalina binti Kamis bagi Latihan Jasmani Terbaik.

Dato Paduka Haji Mohd Nor semasa menyampaikan anugerah kepada rekrut terbaik lelaki dan wanita.
Dato Paduka Haji Mohd Nor dan Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan bergambar bersama salah seorang rekrut lelaki serta ahli keluarganya.