279 jalani pengasingan diri mandatori

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 JUN – Seramai 279 orang menjalani pengasingan diri mandatori di pusat-pusat pemantauan yang disediakan oleh kerajaan, terdiri daripada mereka yang baru tiba di negara ini setelah melakukan perjalanan dari luar negara.

Setakat ini, seramai 2,401 orang telah menamatkan pengasingan diri mandatori di kemudahan-kemudahan berkenaan.

Manakala jumlah mereka yang sedang menjalani kuarantin mengikut Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204 pula seramai 67 dan 2,756 orang telah menamatkan tempoh kuarantin serta dalam keadaan baik.

Dalam pada itu, Negara Brunei Darussalam mengesahkan tiada jangkitan dalam masa 38 hari, mengekalkan jumlah jangkitan seramai 141 orang, manakala jumlah sembuh juga 138 orang.

Perkara itu dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar (gambar bawah) pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam hari ini di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan.

Menurutnya lagi, hanya seorang pesakit masih dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan. Beliau masih dalam keadaan kritikal dan memerlukan bantuan mesin tambahan heart/lung machine (ECMO) dan mesin pernafasan.

Dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 434 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 24,833 ujian.

Berhubung aplikasi BruHealth, Yang Berhormat Dato mengongsikan setakat ini seramai 378,346 ahli telah mendaftar ke dalam aplikasi tersebut.

“Bagi syarikat dan premis pula sejumlah 8,021 telah mendaftar kepada aplikasi BruHealth. Manakala, sebanyak 4,117 premis perniagaan telah memuat turun aplikasi PremiseScan,” katanya.

Menyentuh mengenai aplikasi PremiseScan itu, Yang Berhormat Menteri Kesihatan menasihatkan semua premis untuk memuat turun aplikasi tersebut bagi memudahkan pengimbasan kod QR terutama bagi orang ramai yang tidak mempunyai telefon bimbit untuk masuk ke premis berkenaan.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui applikasi BruHealth atau healthinfo.gov.bn.