Saturday, April 20, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    28 maut Julia mengganas di Amerika Tengah

    BANDAR RAYA GUATEMALA, 11 OKT – Hurikan Julia mula reda, namun ia masih mengganas di wilayah-wilayah Guatemala dan El Salvador selepasmenghentam Nicaragua.

    Sekurang-kurangnya 28 orang dilaporkan mati secara langsung atau tidak akibat taufan itu. Agensi pencegahan bencana Guatemala mengatakan lima orang mati selepas tanah susur dari bukit menghempap rumah mereka di wilayah Alta Verapaz, menimbus mangsa.

    Di wilayah Huehuetenango berhampiran Mexico pula, sembilan maut termasuk seorang askar yang menjalankan kerja-kerja menyelamat.

    Pihak berkuasa di El Salvador turut mengisytiharkan lima kematian askarnya selepas dinding runtuh di rumah yang digunakan untuk berlindung di bandar Comasagua, di mana beratus-ratus polis dan askar menjalankan serbuan antikumpulan. Seorang askar cedera.

    Dua yang lain mati di timur bandar Guatajiagua, El Salvador selepas hujan lebat turut meruntuhkan dinding rumah mereka. Seorang lagi lelaki mati selepas dihanyutkan arus deras dan seorang lagi akibat dihempap pokok.

    Sungai-sungai melimpahi tebingnya dan El Salvador mengumumkan darurat serta membuka 80 tempat perlindungan taufan.

    Di negara jiran, Honduras, seorang wanita berusia 22 tahun mati dihanyutkan arus dan tiga lagi mati apabila bot mereka karam di utara Honduras.

    Seorang lelaki di Nicaragua pula terbunuh akibat pokok tumbang.

    Julia melanda pesisir pantai tengah Caribbean, Nicaragua awal Ahad sebagai hurikan dengan membawa angin maksimum 85 kilometer sejam (ksmj) dan melepasi kawasan pergunungan negara itu, menuju ke Pasifik lewat hari ini sebagai taufan tropika.

    Pusat Hurikan Kebangsaan Amerika Syarikat mengatakan Julia berpusat kira-kira 80 batu ke barat-barat daya Bandar raya Guatamela dan bergerak ke barat-barat daya dengan kelajuan 24kmsj.

    Pusat itu meramalkan banjir dan runtuhan lumpur berkemungkinan berlaku di Amerika Tengah dan selatan Mexico sepanjang hari ini, dengan taufan dijangka membawa sehingga 38 sentimeter hujan di kawasan terpencil. – AP

    Nelayan melihat bot mereka yang hanyut akibat ombak kuat dan hujan lebat dibawakan oleh Hurikan Julia di Guatemala. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...