28 Muslimah Khatam Al-Quran

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 NOV – Setelah berjaya menamatkan bacaan Al-Quran dengan bimbingan tenaga pengajar, seramai 28 orang Muslimah Masjid Pehin Khatib Abdullah, Kampung Kulapis yang menyertai Program Satu Minggu Satu Juzuk (1M1J) telah diraikan dalam Majlis Khatam Al-Quran yang berlangsung di masjid berkenaan, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah isteri Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama, Datin Hajah Nahriah binti Haji Hasbi.

Acara telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh tetamu kehormat majlis seterusnya bacaan surah-surah oleh para peserta khatam diikuti dengan bacaan Doa Khatam sebelum diserikan dengan Dikir Asyrakal.

Majlis antara lain bertujuan sebagai satu pengiktirafan kepada ahli-ahli Muslimah kerana berjaya menamatkan bacaan mereka dan sebagai ganjaran kerana ketekunan mereka dalam mengikuti kelas bimbingan Muslimah khususnya bacaan Al-Quran.

Selain itu, ia juga menggalakkan Muslimah agar sentiasa mengikuti kegiatan-kegiatan keagamaan dan berkebajikan sekali gus mengeratkan lagi ukhuwah Islamiah.

Dengan adanya majlis seumpamanya juga diharap akan dapat menyuntik semangat para peserta khasnya dan menjadikan amalan membaca Al-Quran secara berterusan dalam kehidupan seharian.

Datin Hajah Nahriah hadir selaku tetamu kehormat pada Majlis Khatam Al-Quran bagi program Program 1M1J yang berlangsung di Masjid Pehin Khatib Abdullah, Kampung Kulapis.