Friday, April 19, 2024
23.5 C
Brunei

    -

    28 panggilan kebakaran sepanjang Ramadan lalu

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 APRIL – Statistik kes panggilan kebakaran struktur yang diterima oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) pada bulan Ramadan 2021 iaitu April-Mei yang lalu, ialah sebanyak 28 panggilan.

    Daripada jumlah itu, 21 panggilan adalah kebakaran rumah dengan anggaran kerugian sebanyak $334,600 dan tujuh panggilan kebakaran bangunan.

    Punca utama kebakaran rumah dan bangunan adalah dipercayai daripada kebakaran elektrik seperti lebih beban, kepanasan yang berlebihan, litar pintas, penyambungan yang longgar, pendawaian yang usang, masakan yang ditinggalkan, hos LPG yang longgar dan bocor, arson iaitu kebakaran yang disengajakan atau meragukan serta api puntung rokok.

    Oleh yang demikian, masyarakat Negara Brunei Darussalam ditekankan supaya sentiasa peka serta menitik beratkan aspek keselamatan dan pencegahan bagi menghindari berlakunya kebakaran rumah kediaman mereka.

    Statistik dan saranan itu dikongsikan oleh Pegawai Perhubungan Awam, Cawangan Operasi A, Pegawai Balai Muhammad Hazwan bin Mawang ketika menyampaikan saranan keselamatan kebakaran semasa bulan Ramadhan, baru-baru ini.

    Pegawai Balai Muhammad Hazwan menyampaikan saranan keselamatan kebakaran semasa bulan Ramadan. – Gambar serahan JBP

    Beliau menyarankan orang ramai untuk memastikan kediaman mereka dilengkapi dengan alat pencegah kebakaran seperti alat pemadam api, selimut api dan alat pengesan asap, jangan sesekali meninggalkan masakan terlalu lama dan pastikan kepala gas dan hos LPG mengikut piawaian yang betul yang dikeluarkan oleh pihak BSM, pelan tindakan perlu dibuat jika berlaku dan melawan kebakaran, memastikan penggunaan peralatan elektrik sentiasa dikawal dan mengikut piawaian yang betul serta menutup suis peralatan elektrik jika tidak digunakan.

    Beliau turut menasihatkan penjaja gerai-gerai Ramadan supaya memastikan kepala gas dan hos LPG mengikut piawaian yang betul, jangan sesekali meninggalkan masakan dan mempunyai alat pemadam api debu kering 2kg dan selimut api serta tahu tatacara menggunakannya.

    Terdahulu dalam saranannya, Pegawai Balai Muhammad Hazwan berkata, kebakaran boleh terjadi pada bila-bila masa tanpa memilih jenis rumah atau bangunan selagi ada unsur-unsur yang bertentangan dengan konsep keselamatan maka selagi itulah kemalangan kebakaran di rumah-rumah kediaman atau bangunan akan terus terjadi atau meningkat.

    Kebanyakan rumah yang didapati tidak dilengkapi dengan peralatan pencegah kebakaran seperti alat pemadam api, selimut api dam alat pengesan asap akan lebih terdedah kepada risiko kemalangan kebakaran yang meningkat selagi tidak ada langkah-langkah positif diambil oleh penghuni rumah.

    “Dengan adanya kesedaran dan mempunyai peralatan ini, maka ianya boleh mengurangkan jumlah kadar kerugian, kecederaan dan kematian akibat terperangkap dalam kebakaran di rumah kediaman.

    “Sebagai individu yang bertanggungjawab seharusnya tidak mengabaikan aspek-aspek keselamatan terutama dalam mengelakkan kemalangan kebakaran. Oleh itu langkah-langkah pencegahan awal adalah amat perlu bukan sahaja semasa kita menunaikan ibadah puasa dan menyambut kedatangan Hari Raya. Bahkan ianya hendaklah dijadikan sebagai amalan keselamatan seharian,” ulasnya lagi.

    Jika ada sebarang insiden kecemasan, hubungi talian 995 dan berikan maklumat yang tepat. Bagi pertanyaan mengenai aspek keselamatan kebakaran di rumah kediamans, sila hubungi Bahagian Perhubungan Awam, Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat di talian 2380402/9.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Pengawal dari Pakistan tuntut kewarganegaraan

    SYDNEY, 18 APRIL - Perdana menteri Australia hari ini berkata beliau akan mempertimbangkan untuk memberikan kewarganegaraan kepada seorang pengawal keselamatan Pakistan yang cedera dalam...