Saturday, September 23, 2023
23.7 C
Brunei

    -

    28 pembantu guru prasekolah terima sijil

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 SEPT – Seramai 28 orang pelajar yang terdiri daripada tiga orang lepasan institusi pengajian tinggi, 11 orang pelajar peringkat A dan 14 orang pelajar peringkat O yang menyertai program Penempatan Kerja Sementara Pembantu Sukarela Guru Prasekolah Tahun 2023 telah menerima sijil mereka, kelmarin.

    Majlis penyampaian sijil berlangsung di Dewan Persidangan 1, Kementerian Pendidikan, Berakas, yang mana program adalah bagi membantu guru-guru prasekolah di sekolah-sekolah rendah kerajaan.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis anjuran Kementerian Pendidikan melalui Unit Pendidikan Awal Kanak-kanak, Pejabat Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) itu ialah Ketua Pusat Perkembangan Pendidikan Cerdas Pintar dan Berbakat (EDGE), Kementerian Pendidikan, Dr Mona Aliana binti Dato Paduka Haji Mohd Alimin.

    Antara lain tujuan utama program adalah untuk mendedahkan pelajar-pelajar berkenaan mengamalkan budaya dan konsep sukarelawan yang bermanfaat untuk pembangunan sahsiah dan jati diri.

    Ia juga membantu membina kemahiran insaniah dalam kalangan pelajar-pelajar seperti kemahiran berkomunikasi, kerja berpasukan dan kepimpinan di samping menarik minat untuk menjadi seorang pendidik terutama sekali sebagai seorang guru prasekolah.

    Program juga diharap dapat mendukung meningkatkan kualiti pendidikan di negara ini dengan melahirkan pelajar-pelajar yang lebih berkeyakinan diri dan berdikari melalui peluang yang disediakan oleh pihak Kementerian Pendidikan.

    Ini sejajar dengan aspirasi Sistem Pendidikan Negara Abad ke-21 (SPN21) dan Wawasan Brunei 2035.

    Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Pendidikan Awal Kanak-kanak, Pejabat Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Dayang Sharinah binti Awang Suhaimi.

    Program kendalian Unit Pendidikan Awal Kanak-kanak yang mula diperkenalkan pada Januari 2013 itu menawarkan pelajar-pelajar lepasan peringkat O dan A yang menantikan keputusan peperiksaan menjadi Pembantu Guru Prasekolah secara sukarela di sekolah-sekolah rendah kerajaan seluruh negara.

    Dr Mona Aliana bergambar ramai bersama pelajar program pada majlis yang berlangsung di Dewan Persidangan 1, Kementerian Pendidikan, Berakas. – Gambar serahan Kementerian Pendidikan
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Lebih 30,000 orang dibawa ke hospital akibat strok haba

    TOKYO, 22 SEPT – Jepun pada Ogos menyaksikan sejumlah 34,835 individu dibawa ke hospital di seluruh negara dengan gejala strok haba, ketika negara itu...