28 peserta tamat EDP dirai

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JUN – Seramai 28 peserta tamat pengajian bagi Program Perkembangan Eksekutif (EDP) pegawai-pegawai kanan kerajaan kali ke-16 anjuran Kementerian Pertahanan diraikan pada majlis penutup yang diadakan di Mes Pegawai, Bolkiah Garison, hari ini.

Hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof; Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Filipina, Tuan Yang Terutama Christopher B Montero; Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura, TYT Heng Aik Yeow; pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), setiausaha tetap Kementerian Pertahanan serta wakil-wakil daripada pihak-pihak berkepentingan yang berkaitan.

Menurut Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua ketika memberikan ucapannya pada majlis tersebut antara lain menekankan peranan tinggi sebagai pemimpin untuk mengurus perubahan, menggalakkan kemajuan dan mahir dalam menangani arus perkembangan, terutamanya ketika era perkembangan pesat teknologi kini.

Beliau juga menekankan kepentingan untuk sentiasa menegakkan tahap integriti yang tinggi dalam merealisasikan kepentingan negara. Para peserta yang menyertai program tersebut terdiri daripada pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Pertahanan dan ABDB, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan dan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA). Kementerian Pertahanan juga turut menjemput dan membiayai empat peserta luar negara iaitu Republik Indonesia, Malaysia, Republik Filipina dan Republik Singapura.

Program selama tiga bulan yang disampaikan oleh Lee Kuan Yew School of Public Policy (LKYSPP) National University of Singapore ini dihasratkan dapat memberikan pendedahan para peserta dengan pelbagai kaedah analisis dan pendekatan utama dalam bidang pengurusan awam dan pengurusan. Para peserta juga berpeluang untuk membuat lawatan ke kementerian-kementerian ke-rajaan yang terpilih, di samping sesi ceramah khas yang diharap dapat mengukuhkan pemahaman mereka mengenai persekitaran strategik negara melalui proses-proses pembentukan dasar sejajar dengan Wawasan Brunei 2035.

Pada majlis tersebut, Pemangku Pengarah Institut Pengajian Pertahanan dan Strategik Sultan Haji Hassanal Bolkiah (IPPSSHHB), Ampuan Yura Kasumawati binti DP Haji Mohd Adnan turut menyampaikan kata alu-aluannya yang antara lain menekankan mengenai kerjasama yang rapat antara institut tersebut dan LKYSPP dalam sentiasa memastikan kejayaan program meskipun menghadapi cabaran dari penularan COVID-19.

Acara kemudian diikuti dengan ucapan daripada pihak LKYSPP, Vice Dean (Executive Education) and Associate Professor of Practice, Profesor Francesco Mancini, serta Leftenan Kolonel Kamrin bin Haji Damit, sebagai wakil peserta EDP ke-16, di mana beliau mengongsikan pengalaman para peserta di sepanjang program tersebut.

ATAS & BAWAH: Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua ketika menyampaikan sijil kepada para peserta. – Gambar oleh James Kon