Thursday, February 13, 2025
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    28 sekolah sekitar Serian diberi taklimat wabak rabies

    SERIAN, 20 Julai – Kira-kira 28 buah sekolah dalam radius 10 kilometer dari Daerah Serian telah diberi taklimat mengenai wabak penyakit anjing gila atau Rabies.

    Taklimat tersebut diberikan oleh pegawai Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) dan Jabatan Kesihatan Sarawak. Penolong Pegawai Veterinar Kanan JPVS, Ahtien Ijon berkata taklimat bertujuan meningkatkan kesedaran bahaya wabak tersebut yang sehingga kini telah meragut nyawa empat kanak-kanak.

    Setiap hari dua pasukan digerakkan untuk memberi taklimat kepada empat buah sekolah, katanya ketika ditemui Bernama pada program taklimat di Sekolah Kebangsaan St Teresa hari ini.

    Dalam program tersebut, Athien berkata penerangan diberikan mengenai simptom anjing yang dijangkiti rabies, perkara yang perlu dilakukan jika digigit mamalia perumah seperti anjing, kelawar, kucing atau monyet serta pelbagai lagi maklumat untuk meningkatkan kesedaran masyarakat.

    Beliau berkata taklimat kepada murid serta pelajar sangat berkesan kerana kebiasaannya apabila pulang ke rumah mereka pula akan menyampaikan maklumat tersebut kepada ibu bapa masing-masing.

    “Selain taklimat kita juga buat sesi soal jawab. Sebagai contoh seorang murid tadi ada tanya ‘mengapa pada tahun-tahun sebelum ini tiada wabak rabies’, ini satu soalan yang baik kerana menunjukkan mereka peka dengan situasi ketika ini,” katanya.

    Athien berkata selain taklimat, anggota pasukan itu akan turut mengambil maklumat jika ada pelajar yang pernah digigit anjing.

    “Kita akan salur maklumat itu kepada pasukan pemantau yang akan lakukan tinjauan ke kampung murid tersebut,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda