Saturday, October 5, 2024
26.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    28 ‘wira’ TelBru dirai

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Jan – Telekom Brunei Berhad (TelBru), hari ini, telah meraikan seramai 28 orang warga-nya sebagai sebahagian daripada program pengiktirafan bagi kakitangannya yang telah menunjukkan dedikasi dalam tugas-tugas mereka ke arah menyediakan perkhidmatan pelanggan yang cemerlang.

    Hadir bagi menyampaikan anugerah kepada para penerima pada majlis Anugerah Wira Perkhidmatan TelBru yang berlangsung di Hotel Brunei di ibu negara itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif TelBru, David Holliday.

    Menurut kenyataan TelBru, majlis itu merupakan platform dalaman yang bermatlamat untuk mengiktiraf kecemerlangan dan untuk memberi ganjaran kepada kakitangan yang layak berdasarkan pujian yang disahkan daripada pelanggan serta pengiktirafan dalaman bagi usaha-usaha Pemulihan Perkhidmatan.

    TelBru menjelaskan, salah satu contoh tipikal bagi dedikasi perkhidmatan yang diiktiraf adalah di mana salah seorang penerima anugerah mengunjungi pelanggan pada waktu mereka sendiri untuk menyelesaikan masalah pelanggan.

    Bukan itu sahaja, sewaktu pelanggan berkenaan dirawat di hospital, ‘wira’ TelBru tersebut pergi semasa waktu melawat dan mendapatkan tandatangan kebenaran bagi segera menyelesaikan masalah dengan menukar set modem pelanggan supaya perkhidmatan dapat beroperasi dan tersedia di rumah pelanggan.

    David Holliday bergambar ramai bersama sebahagian warga TelBru yang menunjukkan dedikasi dalam tugas-tugas mereka ke arah menyediakan perkhidmatan pelanggan yang cemerlang.
    David Holliday bergambar ramai bersama 28 ‘wira’ TelBru yang diraikan dalam majlis penyampaian Anugerah Wira Perkhidmatan TelBru yang berlangsung di Hotel Brunei.

    Pelanggan tersebut memuji kakitangan berkenaan bagi caranya yang menjadi contoh, melawat sendiri, menawarkan penyelesaian dan menjelaskan dengan terperinci dan jelas mengenai perkara yang perlu dilakukan, menurut kenyataan itu.

    Kenyataan menambah, TelBru memuji kakitangannya sendiri apabila mereka memberikan perkhidmatan yang luar biasa tetapi pujian paling tinggi hanya boleh datang daripada pelanggan dan ini memberikan gambaran baru kepada kerja keras konsisten TelBru dalam memupuk pasukan berprestasi tinggi dan komited, yang misi utamanya adalah untuk menjangkaui jangkaan pelanggan.

    David Holliday dipetik sebagai berkata, “Saya sangat gembira untuk menyampaikan anugerah ini, kita terus menerus berusaha untuk menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan berharga kita, jadi semua orang di TelBru yang menggembirakan pelanggan dengan menjangkaui standard perkhidmatan kita, bukan sahaja menjadi inspirasi dan sumber kebanggaan semua orang di TelBru, malah mereka layak menerima pengiktirafan khas daripada syarikat kita.”

    Anugerah kumpulan istimewa juga disampaikan dalam mengiktiraf usaha-usaha kolektif dan semangat berpasukan mereka dalam mengatasi halangan-halangan dan menyediakan pemulihan pantas kepada pelanggan.

    Kesemua 28 wira berkenaan diberikan ganjaran wang tunai, sijil dan lencana Hero TelBru yang diharapkan untuk terus cemerlang dalam tugasan mereka dan menjadi model peranan kepada setiap kakitangan dalam organisasi berkenaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda