281 Pelajar terima Penghargaan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 DIS – Seramai 281 orang pelajar menerima sijil dan hadiah cemerlang pada Majlis Haflut Takharruj Pelajar-pelajar Tahun 6 dan Penyampaian Hadiah Pelajar-pelajar Cemerlang Sekolah Persediaan Arab yang berlangsung di Dewan Serba Guna, Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Kampung Katok, kelmarin.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian hadiah ialah Penolong Pengarah (Perkhidmatan Korporat), Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Rusli bin Haji Mohd Salleh.

Majlis diadakan sebagai pengiktirafan kepada para pelajar cemerlang dalam akademik, sebagai insentif kepada pelajar diraikan dan memotivasikan para pelajar agar terus mempertingkatkan usaha dan pencapaian akademik mereka.

Pada majlis tersebut tetamu kehormat dalam ucapan ringkasnya berharap pelajar meneruskan semangat perjuangan kerana majlis tersebut adalah titik permulaan kehidupan mereka.

Pelajar juga diseru memperkuatkan lagi iman agar dapat meneruskan perjalanan mereka dengan lebih tabah dan yakin.

Beliau turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada para pelajar cemerlang dalam peperiksaan sekolah dan Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR) 2019.

Majlis turut diserikan dengan tayangan slaid, penyampaian sijil, persembahan para pelajar dan penyampaian hadiah penghargaan khas kepada guru-guru.

Salah seorang pelajar ketika menerima sijil daripada tetamu kehormat.
Antara pelajar yang diraikan semasa majlis tersebut.