2,845 individu disaring untuk COVID-19 di Labuan

LABUAN, 11 JUN – Jabatan Kesihatan Labuan telah menjalankan ujian saringan COVID-19 terhadap 2,845 individu daripada 19 kumpulan sasaran setakat hari ini.

Jumlah tertinggi adalah dari pusat membeli-belah dan Kompleks Ujana Kewangan, melibatkan 735 orang yang terdiri daripada pekerja kiosk, pekerja pasar raya serta vendor dan daripada jumlah tersebut, 251 daripadanya telah diambil sampel.

Kumpulan penghantar makanan adalah yang kedua tertinggi dengan 569 orang dan kesemuanya menjalani ujian swab, manakala 198 daripada 556 pekerja pasar raya besar dan pasar raya juga telah diambil sampel mereka.

Bagaimanapun, tiada yang diuji positif COVID-19 daripada kumpulan-kumpulan yang disaring itu, kata Pengarah Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari.

Beliau berkata seramai 95 orang guru termasuk pengendali pusat jagaan kanak-kanak turut diambil sampel masing-masing serta 101 daripada 200 vendor dan pekerja di Pasar Sentral dan Bangunan UTC (Kumpulan UTC) yang disaring. – Bernama