2,850 panggilan kecemasan diterima

Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan JBP

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OGOS – Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) menerima 2,850 panggilan kecemasan di seluruh negara dari Januari hingga Jun antaranya 2,276 panggilan bagi bilik dan kereta terkunci, menyiasat asap, gas bocor, insiden gangguan dan menyelamat binatang liar (ular, biawak, penyengat, kucing dan anjing), tanah susur (salvage), kemalangan jalan raya serta menyelamat mangsa.

Di samping itu, statistik turut mendedahkan bahawa dari Januari hingga Jun 2021, sebanyak 86 panggilan kebakaran struktur telah diterima bagi keempat-empat daerah dengan Daerah Brunei dan Muara mencatatkan panggilan tertinggi sebanyak 59 panggilan, diikuti dengan Daerah Belait sebanyak 15 panggilan, Daerah Tutong dengan 10 panggilan dan Daerah Temburong dua panggilan.

Sementara itu, statistik kebakaran besar melibatkan bangunan dan rumah bagi Januari hingga Jun 2021 ialah sebanyak 30 di mana 10 adalah kebakaran bangunan dan 20 adalah kebakaran rumah. Jumlah kerugian bagi kebakaran bangunan dari Januari hingga Jun 2021 dianggarkan sebanyak $2,129,300 dan anggaran kerugian bagi kebakaran rumah ialah $665,150.

JBP turut merekodkan statistik kebakaran kecil berjumlah 56 panggilan iaitu 13 panggilan kebakaran bangunan dan 43 kebakaran rumah (kebakaran elektrik, masakan yang ditinggalkan, gas bocor) dan sebagainya.

Statistik punca kebakaran struktur iaitu besar dan kecil bagi Januari hingga Jun 2021 adalah sebanyak 16 peratus adalah kategori elektrik disebabkan oleh kecuaian individu, 28 peratus adalah kategori elektrik disebabkan kerosakan, 11 peratus adalah kategori elektrik disebabkan oleh kerosakan pada komponen, 5 peratus adalah kategori incendiary incident disebabkan insiden meragukan atau arson, 1 peratus adalah kategori incendiary incident berpunca kejadian disengajakan, 18 peratus adalah kategori human error atau negligence disebabkan oleh kecuaian individu serta 7 peratus adalah kategori LPG disebabkan oleh kebocoran.

Anggota bomba semasa memadamkan salah satu kebakaran rumah yang berlaku pada tahun ini.

Manakala itu, punca utama bagi kebakaran struktur adalah 28 panggilan bagi elektrik iaitu kerosakan pada main swithboard, incoming cable, lebih beban dan fuse cutout, 16 panggilan bagi kecuaian individu iaitu terlebih beban pada kabel tambahan, lebih had mengecas telefon bimbit dan lebih panas serta 11 panggilan bagi kerosakan pada komponen termasuk sambungan relay penyaman udara, mesin pencuci pakaian, peti sejuk, lampu LED dan balast lampu kalimantang.

Sementara itu, statistik kebakaran struktur mengikut kategori punca kebakaran ialah 55 kebakaran berada dalam kategori elektrik, enam kebakaran dalam kategori incendiary incident, 18 kebakaran dalam kategori kecuaian atau kesalahan manusia serta tujuh kebakaran dalam kategori LPG.

Manakala itu, JBP turut mengongsi statistik bagi usaha untuk mendekati masyarakat di mana secara keseluruhan dari 2018 hingga 2021, sebanyak 118,795 orang telah menghadiri Program Kesedaran Awam.

Sementara itu, melalui program mendekati masyarakat JBP bagi Januari hingga Jun 2021, 11,785 orang telah menghadiri Program Kesedaran Awam dan bagi Masyarakat Berjasa dari Januari hingga Jun 2021, seramai 35 orang warga berjasa telah menerima Sijil Penghargaan Masyarakat Berjasa.

JBP dalam siaran akhbar berkenaan turut menyarankan kepada orang ramai untuk memastikan premis atau rumah mereka dilengkapi dengan alat pemadam api jenis debu kering (4 kilogram), selimut api dan alat pengesan asap, tidak meninggalkan masakan tanpa diawasi, jika terdapat kebocoran pada komponen LPG untuk segera membuka jendela dan pintu bagi pengudaraan, tidak melebihi beban apabila menggunakan peralatan elektrik serta memastikan penyelenggaraan wayar elektrik dikendalikan oleh syarikat yang bertauliah dan mengikut piawaian Jabatan Perkhidmatan Elektrik.

Di samping itu, JBP turut menyediakan program-program seperti Kursus Life Saver 995, Kursus Marsyal Bomba dan Taklimat Keselamatan Kebakaran bagi meningkatkan pengetahuan mengenai aspek-aspek keselamatan semasa menangani kecemasan serta mengetahui tatacara yang betul penggunaan alat pemadam api.