Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 APRIL – Majlis Tadarus Al-Quran sempena Bulan Ramadan 1443H/2022M bagi Guru-guru Sekolah-sekolah Ugama Kawasan Brunei IIA berakhir dengan majlis khatam Al-Quran yang disertai seramai 286 orang guru dari 14 buah sekolah agama Kawasan Brunei IIA.
Hadir selaku tetamu khas pada majlis yang diadakan secara maya itu ialah Pegawai Pengajian Islam Daerah atau Kawasan Brunei IIA, Bahagian Sekolah Ugama, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dayang Suriati binti Haji Awang Mohamad.
Majlis anjuran Jawatankuasa Kerja Pemimpin-pemimpin Sekolah-sekolah Ugama Kawasan Brunei IIA itu bertujuan untuk menghidupkan bulan suci Ramadan dengan amalan berkebajikan dan program keagamaan di sam-ping membudayakan ‘Hubbul Quran’ dalam kalangan guru-guru sekolah.
Selain itu, ia juga memberi peluang untuk sama-sama tahsin (memperbaiki) bacaan Al-Quran dan mengeratkan ukhuwah dalam kalangan ahli Jawatankuasa Kerja Pemimpin-pemimpin Sekolah-Sekolah Ugama Kawasan Brunei IIA dalam sama-sama menjayakan program yang berkebajikan.
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, Doa Sebelum Membaca Al-Quran, Al-Fatihah yang dipimpin oleh tetamu khas majlis kemudian disusuli dengan bacaan surah-surah lazim (Ad-Dhuha – An-Nas), bacaan Takhtim Al-Quran dan Tahlil, Doa Khatam Al-Quran, Dikir Marhaban serta diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Doa Selamat.