29 April tentukan hukuman kecuaian kendali bot tambang

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 APRIL – Seorang lelaki warga Malaysia mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, hari ini, atas pertuduhan mengendalikan bot tambang secara cuai sehingga membahayakan nyawa orang, atau mungkin menyebabkan kecederaan kepada mana-mana orang.

Hukuman terhadap Asri bin Taram, 34, akan dijatuhkan Ketua Majistret Pengiran Masni binti Pengiran Haji Bahar pada 29 April, dan turut memerintahkan tertuduh ditahan reman sehingga tarikh hukuman.

Dalam kejadian pada 25 Disember 2019 kira-kira jam 12 tengah hari di jeti Sungai Lampai, tertuduh yang mengendalikan teksi air tanpa lesen yang mana dia juga mengetahui bahawa botnya tidak dapat menampung ramai penumpang dan tidak menyediakan jaket keselamatan, telah menawarkan khidmatnya kepada tujuh orang pelancong.

Bot yang terlebih muatan itu menjadi tidak stabil dan karam sebaik berlepas dari jeti.

Sebahagian daripada penumpang sempat melompat ke jeti dan selebihnya terpaksa berenang kembali ke jeti.

Kejadian itu dirakam orang awam dan tular di media sosial pada tahun lalu.

Kejadian disiasat bersama Pasukan Polis Diraja Brunei dan Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Brunei Darussalam (PBMP).

Pendakwaan dibuat Timbalan Pendakwa Raya, Dr Mohammad Hussin Ali bin Idris.

Pejabat Peguam Negara mengingatkan pengusaha bot tambang untuk mematuhi undang-undang negara ini, termasuk mendaftarkan bot mereka dengan PBMP dan mendapatkan lesen sah.

Sesiapa yang didapati melakukan kesalahan, boleh dikenakan hukuman maksimum lima tahun penjara dan denda $10,000 di bawah Seksyen 280 Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22.