Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan TAP
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 FEB – Seramai 29 pekerja tempatan didapati masih belum didaftarkan di bawah caruman Skim Tabung Amanah Pekerja (TAP) dan Skim SCP semasa pemeriksaan para pegawai TAP ke atas 39 premis perniagaan di sekitar Daerah Belait pada 2 dan 4 Februari lalu.
Menurut kenyataan dikeluarkan TAP, Unit Penguatkuasaan telah mengadakan pemeriksaan ke premis-premis perniagaan tersebut dan mendapati ada majikan yang masih gagal mendaftarkan dan mencarumkan pekerja mereka di bawah kedua-dua skim tersebut.
TAP menyatakan bahawa lawatan itu bermatlamat untuk memastikan setiap pekerja mempunyai simpanan bagi kesejahteraan hari persaraan mereka nanti. Dalam hal itu, setiap majikan perlu bertanggungjawab dalam mendaftarkan dan membayar caruman Skim TAP dan SCP pekerja-pekerja mereka.
TAP ingin memaklumkan kepada majikan bahawa proses pendaftaran dan pembayaran caruman pekerja adalah dipermudahkan dengan hanya menggunakan perkhidmatan dalam talian TAP, e-Amanah dengan mendaftar masuk ke akaun majikan melalui laman sesawang TAP, www.tap.com.bn.
Majikan tidak perlu lagi berurusan melalui kaunter-kaunter perkhidmatan TAP seperti sebelumnya.
TAP juga ingin menasihatkan majikan untuk mendaftarkan pekerjanya ke Skim TAP dan SCP, bagi mengelak kesalahan di bawah Bab 26, Akta Amanah Pekerja, di mana majikan boleh didenda tidak kurang $3,000 bagi kesalahan pertama dan tidak lebih $10,000 bagi kesalahan kedua dan seterusnya.
Bagi isu-isu yang berkaitan dengan hal ehwal penguatkuasaan seperti tidak didaftar dan tiada pembayaran caruman, pihak pengadu boleh mengongsi maklumat di talian hotline Unit Penguatkuasaan TAP, 8998290 atau melalui e-mel, enforcement@tap.com.bn.
Manakala pekerja yang ingin membuat sebarang aduan mengenai caruman yang tidak dibayar atau belum didaftarkan adalah dinasihatkan untuk mengunjungi mana-mana cawangan TAP yang berdekatan atau menghubungi Pusat Panggilan TAP di talian, 2382929 semasa waktu bekerja.
Bagi ahli yang telah berdaftar ke perkhidmatan dalam talian TAP, e-Amanah, aduan juga boleh dibuat dengan mendaftar masuk ke akaun ahli melalui laman sesawang TAP, www.tap.com.
