29 jurutera profesional dilantik sebagai SCE, DE

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OGOS – Dua orang jurutera profesional telah dilantik sebagai Supervising Civil Engineers (SCE) dan 27 lagi dilantik sebagai Delegated Engineers (DE) bagi menjayakan Skim Latihan Kementerian Pembangunan/Institusi Jurutera Awam (ICE).

Majlis penyampaian sijil-sijil lantikan telah diadakan di Kementerian Pembangunan di sini, hari ini, dan disempurnakan oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi bin Haji Gafar.

Yang Berhormat Dato dalam ucapannya menjelaskan, SCE bertanggungjawab untuk mengawal, menyelaras dan merancang perkembangan awal peserta skim latihan serta memastikan mereka menerima pemahaman, pengetahuan dan pengalaman yang diperlukan dan mencapai tahap yang dikehendaki mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh ICE, United Kingdom.

Manakala itu, DE pula berperanan bagi membantu SCE dalam latihan dan mentorship secara harian seperti yang diperlukan dalam skim latihan berkenaan.

Dengan bimbingan SCE dan DE ini, peserta yang mengikuti skim tersebut diharap dapat memanfaatkan tempoh latihan mereka dengan sebaiknya.

Yang Berhormat Dato mengambil maklum bahawa lantikan SCE dan DE, kementerian berkenaan akan menjana lagi inisiatif Program Pembangunan Profesional bagi mengawal teknikal yang bertujuan untuk mempertingkatkan tahap ilmu pengetahuan dan kemahiran pegawai berkenaan ke tahap profesional antarabangsa.

Yang Berhormat Menteri Pembangunan menyampaikan sijil lantikan SCE kepada salah seorang jurutera profesional. – Gambar oleh Muiz Matdani

Beliau turut menekankan, pada masa ini, pembangunan yang mampan adalah agenda utama yang memang telah diambil kira dalam industri pembinaan di negara ini.

“Ia merangkumi pembangunan infrastruktur yang berdaya tahan, memupuk inovasi serta mempromosikan industri yang inklusif dan mampan,” tegasnya.

Oleh itu, adalah sangat penting bagi jurutera yang terlibat dalam industri pembinaan untuk meningkatkan pemahaman mengenai pembangunan mampan dengan penggunaan teknologi terkini dan inovasi yang dapat mengurangkan kos pembinaan dan meningkatkan produktiviti serta memanjangkan kitaran hidup pembangunan dan infrastruktur.

Pada majlis itu, Yang Berhormat Menteri Pembangunan turut menyampaikan sijil penghargaan kepada Lim Sui Kau Alice yang telah menjalankan tugas sebagai SCE sejak 2012 dengan penuh dedikasi dalam membimbing jurutera muda untuk mendapatkan kelulusan profesional mereka.

Sijil penghargaan juga diberikan kepada tiga orang jurutera profesional yang berpengalaman yang turut memberikan bimbingan dan tunjuk ajar kepada jurutera muda terutama sekali dalam menduduki Chartered Professional Review.