BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JAN – Readymix Concrete (B) Sdn Bhd, baru-baru ini, telah menerima kunjungan rombongan pelajar daripada Pertubuhan Ukur Jurutera dan Arkitek (PUJA) Student Chapter yang merangkumi 29 orang pelajar Kejuruteraan Mekanikal dan Kejuruteraan Awam dari Universiti Teknologi Brunei (UTB) .
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Readymix, hadir mengetuai lawatan itu ialah Pengurus Teknikal Readymix, Howell Dosal Carcillar yang telah bersama syarikat berkenaan sejak 2012 dengan empat tahun pengalaman sebagai pakar konkrit di Dubai sebelum menjawat jawatan di Brunei.
Semasa lawatan itu, beliau menunjukkan proses terperinci pembuatan konkrit daripada pemerolehan bahan mentah yang digunakan, kawalan kualiti dan ujian bahan mentah, proses penghasilan dan penghantaran.
Eksekutif pemasaran syarikat berkenaan, Dayang Zara Laila binti Abdul Hadi dipetik menyatakan bahawa Readymix mempunyai hubungan baik dengan PUJA dan telah berjaya menganjurkan beberapa seminar bersama.
Beliau juga berkata bahawa syarikat berkenaan sentiasa sedia untuk mengalu-alukan orang awam melawat kilang mereka.
Menurutnya, mereka ingin mendidik orang awam mengenai proses terperinci mengenai bagaimana mereka mampu mengekalkan kualiti konkrit mereka selama 35 tahun ini.





























