29 pelajar terima sumbangan peralatan sekolah

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Jan – Seramai 29 orang pelajar yang menjadi mangsa kebakaran di Kampung Sungai Asam pada 6 dan 23 Disember 2016 dan Kampung Pandai Besi dan Kampung Lurong Dalam pada 7 Disember 2016, telah menerima sumbangan pada majlis yang berlangsung di Sekolah Menengah (SM) Awang Semaun, hari ini.

Sumbangan kepada para pelajar dari beberapa buah sekolah berkenaan adalah daripada Jabatan Sekolah-sekolah dan kutipan daripada pegawai dan kakitangan jabatan berkenaan.

Penyampaian sumbangan telah disempurnakan oleh Pemangku Pegawai Tugas-tugas Khas Kanan (Korporat), Jabatan Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan, Awang Mohd Sharifuddin bin Haji Mohd Salleh.

Menurut Unit Pentadbiran dan Perhubungan Awam, Kementerian Pendidikan, sumbangan berkenaan merupakan sebagai tanda prihatin dan simpati terhadap musibah yang menimpa para pelajar yang terlibat.

Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar Jabatan Sekolah-sekolah, Hajah Jeriah binti Haji Duraman berkata, sumbangan berkenaan diharap akan dapat meringankan lagi beban para pelajar berkenaan.

ATAS & BAWAH: Penyampaian sumbangan berupa peralatan sekolah hasil dari kutipan daripada para pegawai dan kakitangan Jabatan Sekolah-sekolah.
ATAS & BAWAH: Penyampaian sumbangan berupa peralatan sekolah hasil dari kutipan daripada para pegawai dan kakitangan Jabatan Sekolah-sekolah.

Sumbangan berupa perkakasan sekolah seperti buku, beg dan sebagainya itu juga bertujuan semata-mata untuk memberikan semangat kepada para pelajar agar mereka terus tekun belajar.

Hajah Jeriah memberitahu, kutipan yang dimulakan pada 18 Disember lalu itu mendapat sambutan yang cukup menggalakkan.

Para penerima sumbangan berupa pakaian dan peralatan sekolah tersebut terdiri daripada 13 pelajar SM Awang Semaun (tiga daripadanya dari Kampung Sungai Asam dan 10 dari Kampung Pandai Besi), 10 pelajar Sekolah Rendah (SR) Sungai Kebun (dari Kampung Pandai Besi dan Lurong Dalam), seorang pelajar SR Mentiri, dua pelajar dari SR Pintu Malim serta tiga orang pelajar dari SR Sultan Hasan Bangar, Temburong yang terlibat dalam musibah kebakaran di Kampung Sungai Tanit, Daerah Temburong pada 6 Disember 2016.

Terdahulu, majlis penyampaian sumbangan berkenaan juga mendengarkan Tazkirah yang disampaikan oleh Pegawai Pentadbiran dari Jabatan Sekolah-sekolah, Awang Saat bin Haji Makim yang sedikit sebanyak menyentuh mengenai ketenangan hidup.

Turut hadir di majlis berkenaan ialah para pegawai kanan, pegawai pendidikan, jemputan dan para pelajar yang menerima sumbangan berkenaan.