Tuesday, April 16, 2024
36 C
Brunei

    -

    29 terima bantuan sempena Ramadan

    Oleh Daniel Lim

    BELAIT, 30 MAC – Sebagai sebahagian daripada inisiatif tahunan yang bertujuan membantu meringankan beban anak yatim dan golongan kurang berkemampuan yang menetap di sekitar Kampung Sungai Liang menjelang bulan Ramadan, Muslimah Masjid Kampung Sungai Liang telah menyerahkan pelbagai sumbangan kepada 29 orang wakil pada Majlis Mulianya Berbagi yang berlangsung di Dewan Masjid Kampung Sungai Liang, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Pegawai Hal Ehwal Masjid Daerah Belait, Haji Haslan bin Haji Shahbudin yang telah disambut oleh ketua imam masjid, Awang Zulhilmi bin Jefri.

    Turut hadir ialah Penolong Pegawai Hal Ehwal Masjid Daerah Belait, Awang Mohd Barra Aizatakmal bin Baraim; Ketua Pengajar Muslimah Masjid Kampung Sungai Liang, Pengiran Hajah Fatimah binti Pengiran Haji Omar dan ahli-ahli takmir masjid.

    Dalam ucapan alu-aluannya, Awang Zulhilmi berkata bahawa program tersebut adalah sebahagian daripada inisiatif tahunan yang dianjurkan sejak 2019 oleh Muslimah masjid tersebut bagi membantu golongan yang memerlukan khususnya pada bulan Ramadan.

    “Dengan sokongan Jabatan Hal Ehwal Masjid, program tersebut terus dijalankan setiap tahun, bukan sahaja di Daerah Belait tetapi juga daerah lain di seluruh negara,” katanya.
    Sementara itu, Haji Haslan menyatakan penghargaan terhadap usaha yang dilakukan oleh pihak berkenaan dalam mengekalkan program tersebut setiap tahun.

    Beliau menambah, penganjuran program sebegini setiap tahun mempunyai pelbagai cabaran. Oleh itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada pihak Muslimah kerana meluangkan masa untuk membantu mereka yang memerlukan terutamanya pada majlis yang sangat bermakna itu.

    Acara diteruskan dengan penyampaian sumbangan berupa makanan keperluan asas kepada anak-anak yatim dan individu kurang berkemampuan.

    Dengan penganjuran program tersebut, pihak Muslimah dan masjid berharap ia dapat memberi inspirasi kepada orang lain untuk melakukan aktiviti seumpama di samping memupuk minda dalam bergotong-royong membantu umat Islam lain yang memerlukan.

    Haji Haslan menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima pada majlis yang berlangsung di Masjid Kampung Sungai Liang, kelmarin.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Bot karam di Kashmir India bunuh sekurang-kurangnya 4 orang

    SRINAGAR, 16 APRIL - Sebuah bot yang membawa sekumpulan orang terbalik di sungai di Kashmir yang dikuasai India pada hari ini, menenggelamkan empat daripada...