Monday, October 7, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    290 pelajar cemerlang seluruh negara dirai

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    Gambar oleh Rahwani Zahari

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 April – Seramai 290 orang pelajar termasuk pelajar dari sekolah-sekolah rendah, menengah, maktab dan pusat tingkatan enam kerajaan dan pendidikan swasta seluruh negara telah diraikan dalam Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Kementerian Pendidikan Tahun 2018,
    hari ini.

    Para pelajar yang diraikan itu terdiri daripada mereka yang mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan Brunei Cambridge GCE ‘A’ Level, International Baccalaureate, Brunei Cambridge GCE ‘O’ Level, IGCSE, Pearson BTEC Level 2 Extended Certificate dan Penilaian Sekolah Rendah (PSR).

    Majlis yang berlangsung di Dewan Serambi Suluh, Tarindak D’Seni, di Ibu negara tersebut merupakan anjuran Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Peperiksaan, Jabatan Sekolah-Sekolah Bahagian Pendidikan Swasta dan Unit Pendidikan Khas serta dengan kerjasama pihak Cambridge Assessment International Education (CAIE).

    Hadir ke majlis itu ialah anakanda Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Haji Mohammed Al-Mokhtar yang mana, cucunda Yang Teramat Mulia iaitu Pengiran Nur’Azeezah dari Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah juga penerima Anugerah Pelajar Cemerlang.

    Pengiran Nur’Azeezah merupakan salah seorang penerima anugerah pelajar cemerlang dalam BC GCE ‘A’ Level setelah berjaya mendapat keputusan cemerlang A* dalam mata pelajaran Biologi, A dalam mata pelajaran Kimia dan Fizik serta B dalam mata pelajaran Matematik.

    Yang Amat Mulia Pengiran Anak Haji Mohammed Al-Mokhtar dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Muhammad Abdul Haffiz serta isteri ketika menghadiri majlis berkenaan.
    Pengiran Nur ‘Azeezah ketika menerima anugerah daripada Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah.

    Turut hadir ialah anakanda Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Jefriah, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Muhammad Abdul Haffiz.

    Hadir selaku tetamu khas dan menyempurnakan penyampaian anugerah kepada para pelajar yang diraikan ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman.

    Antara objektif Anugerah Pelajar Cemerlang berkenaan adalah bagi memberikan pengiktirafan dan penghargaan kepada para pelajar yang telah menunjukkan kecemerlangan dalam bidang akademik khususnya dalam peperiksaan awam sebagai dorongan serta galakan kepada para pelajar supaya lebih bersemangat dalam meraih kecemerlangan pada masa hadapan.

    Selain itu, penganugerahan berkenaan juga mencerminkan pemedulian berterusan ditunjukkan oleh Kementerian Pendidikan dalam pendidikan para pelajar di negara ini di samping dijadikan sebagai penghargaan kepada ibu bapa dan penjaga yang banyak memberi sokongan dan dorongan berterusan kepada anak-anak mereka serta kepada pihak sekolah yang banyak melaksanakan pelbagai inisiatif sepanjang tahun dalam usaha membantu para pelajar mencapai keputusan yang cemerlang lebih-lebih lagi dalam peperiksaan Awam.

    Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat sebelum diikuti dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh Awang Mohammad Hamiz Mirza bin Haji Sudirman yang merupakan johan Pertandingan Tilawah Al-Quran Peringkat Sekolah-Sekolah Menengah dan Maktab Senegara Tahun
    2018.

    Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh; Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) di Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad; Pemangku Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) di Kementerian Pendidikan, Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman; Timbalan Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) di Kementerian Pendidikan Dr Chin Wei Keh dan Ketua Pengarah Pendidikan, Hajah Anis Faudzulani binti Haji Dzulkiflee; para pengarah dan pegawai-pegawai kanan Kementerian Pendidikan, pemimpin-pemimpin sekolah, ibu bapa dan penjaga para pelajar yang diraikan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda