Friday, April 26, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    292 sertai webinar anjuran Pusat Sejarah Brunei

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 APRIL – Seramai 292 peserta menyertai dalam Webinar ‘Kepentingan Sumber Lisan dalam penyelidikan sejarah’ dengan tema ‘Sumber Lisan Sumber Pensejarahan Brunei’ yang diadakan secara maya melalui platform Zoom, hari ini.

    Webinar tersebut merupakan salah satu usaha Pusat Sejarah Brunei (PSB) dalam mendekatkan ilmu sejarah dan untuk memperkukuhkan jati diri serta pembentukan identiti bagi pembangunan bangsa dan negara kepada semua lapisan masyarakat di negara ini khusus generasi belia.

    Timbalan Pengetua PSB, Awang Hanafi bin Haji Salleh dalam ucapannya berkata, sumber lisan, salah satu ilmu sejarah yang menjadi fokus utama dalam perbincangan webinar kali ini yang mana sumber lisan ini mempunyai dua kategori iaitu sejarah lisan dan tradisi lisan.

    Beliau seterusnya menjelaskan yang kedua-dua sumber ini berperanan dalam mendapatkan keterangan lisan (naratif) mengenai peristiwa bersejarah berdasarkan pengalaman, pengetahuan dan penglibatan informan.

    Walau bagaimanapun, jelasnya lagi, sumber tradisi lisan disampaikan dalam bentuk pertuturan secara turun-temurun sebagai cerita rakyat (folklor).

    Antara yang menyertai webinar berkenaan. – Gambar Serahan Pusat Sejarah Brunei

    Pada webinar tersebut, dua ahli panel telah dijemput untuk menyampaikan pembentangan yang terdiri Dr Maslin bin Haji Jukim dengan tajuk pembentangan ‘Folklor Hanya Maya’.

    Dr Maslin dalam pembentangan kertas beliau menjelaskan, cerita rakyat adalah tradisi lisan yang dianggap sebagai dongeng, bayangan, khayalan, fantasi, angan-angan, ilusi, mimpi, igauan, dan sebagainya.

    Cerita rakyat bukan hanya dalam pengertian yang sempit dan sekadar cerita lisan dan rakyat tapi ia adalah ‘catatan’ terawal peradaban manusia dalam sesebuah masyarakat tradisional, primitif, dan bertamadun, yang memelihara interaksi manusia dengan alam, sesama manusia, dan makhluk lain di sekelilingnya.

    Manakala Awang Jafalizan bin Mohd Jali pula menyampaikan pembentangan bertajuk, ‘Kepentingan Sejarah Lisan dan Pengakedahannya dalam Penyelidikan Sejarah’.

    Dalam kertas pembentangan beliau, antara lain menggariskan sejarah lisan dapat memberikan gambaran dan menterjemah keandalan peristiwa lalu dalam menyokong fakta melalui pelbagai sumber maklumat.

    Antara lain objektif webinar ini adalah untuk memberiga dan menyalurkan pengetahuan dan kefahaman tentang kepentingan sumber lisan (sejarah lisan dan tradisi lisan) sebagai salah satu kaedah penyelidikan sejarah yang signifikan dalam melengkapkan dan menyokong sumber-sumber yang sedia ada.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...