298 anggota ABDB terima pingat

Oleh Danial Norjidi
Gambar oleh Bahyiah Bakir

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 DIS – Seramai 298 orang anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), yang masih berkhidmat dan telah bersara, diperkenankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menerima Pingat Kerja Lama dan Perangai Baik (Tentera).

Majlis penyampaian pingat-pingat berkenaan telah berlangsung di Padang Kawad Batalion Pertama, Berakas Garison, hari ini dan disempurnakan oleh Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan bin Pengiran Haji Mahmud selaku tetamu kehormat majlis.

Turut hadir ialah pemerintah-pemerintah angkatan tentera, pemerintah angkatan bersama, para pengarah, komandan, pegawai kanan dan pegawai-pegawai ABDB.

Pemerintah ABDB dalam ucapannya menekankan bahawa penganugerahan pingat berkenaan adalah satu penghormatan besar dan ia melambangkan kepercayaan, penghormatan dan pengiktirafan terhadap semua komitmen, perkhidmatan dan pencapaian anggota ABDB dalam menjalankan tugas yang menyumbang kepada keamanan dan kesejahteraan negara.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, anugerah berkenaan merupakan tanda penghargaan kepada anggota tentera bagi perkhidmatan yang telah dilaksanakan dengan penuh dedikasi dan integriti.

Ia juga merupakan galakan kepada anggota ABDB untuk meneruskan semangat profesionalisme dan kecemerlangan dalam perkhidmatan tentera.

Pemerintah ABDB ketika menyematkan pingat kepada para penerima.
Pemerintah ABDB berjabat tangan bersama para penerima pingat.