3.6% sahaja lagi ke Fasa Endemik

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 NOV – Seramai 1,719 orang telah menerima suntikan vaksin COVID-19 di seluruh Negara Brunei Darussalam, kelmarin.

Dengan jumlah tersebut, seramai 400,238 orang iaitu 93.1 peratus daripada jumlah penduduk negara kini telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19 di bawah Program Vaksinasi Kebangsaan,

“Manakala, 328,388 orang telah melengkapkan dua dos vaksin COVID-19 iaitu 76.4 peratus daripada jumlah penduduk negara,” ujar Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar.

Oleh yang demikian, kini negara cuma memerlukan 3.6 peratus sahaja lagi untuk mencapai 80 peratus dua dos vaksin sebelum beralih daripada

Fasa Peralihan ke Fasa Endemik yang akan diumumkan tarikhnya nanti, tambah beliau pada sidang media di Kementerian Kesihatan, hari ini.

Beliau turut mengongsikan kadar vaksinasi bagi kalangan penduduk berumur 60 tahun ke atas.

“Seramai 43,615 orang iaitu 100.7 peratus telah menerima satu dos vaksin COVID-19 yang mana melebihi dari-pada anggaran penduduk berumur 60 tahun ke atas dan seramai 41,106 orang iaitu 94.9 peratus telah melengkapkan dua dos vaksin COVID-19,” jelasnya.

Sehubungan itu, Negara Brunei Darussalam kini telah mencatatkan sebanyak 728,626 jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan dos kedua vaksin COVID-19, sejak ia mula diberikan pada 3 April lalu.

Daerah Brunei dan Muara mencatatkan jumlah tertinggi berbanding daerah-daerah lain iaitu sebanyak 469,241 pemberian dos, diikuti dengan Daerah Belait sebanyak 96,066, Daerah Tutong sebanyak 84,376 dan Daerah Temburong sebanyak 78,943.