3.7% lagi ke Fasa Peralihan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 NOV – Negara Brunei Darussalam kini di ambang Fasa Peralihan daripada Fasa Persiapan, apabila hanya 3.7 peratus lagi diperlukan untuk 70 peratus vaksinasi dos lengkap penduduk.

Peningkatan kadar dos kedua daripada 64.8 peratus pada 5 November lalu kepada 66.3 peratus pada kelmarin (6 Nov) berlaku apabila seramai 7,257 orang menerima suntikan vaksin dos satu dan dos dua.

Peningkatan vaksinasi itu dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar pada sidang media yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.

“Ini bermakna di bawah Program Vaksinasi Kebangsaan, seramai 355,420 orang telah menerima satu dos vaksin COVID-19 iaitu 82.7 peratus daripada jumlah penduduk negara,” jelas Yang Berhormat Dato.

“Manakala, 285,301 orang telah melengkapkan dua dos vaksin COVID-19 iaitu 66.3 peratus daripada jumlah penduduk negara,” tambah beliau.

Dengan jumlah tersebut, kini Negara Brunei Darussalam mencatatkan sebanyak 640,721 jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan dos kedua, sejak ia mula diberikan pada 3 April lalu.

Daerah Brunei dan Muara mencatatkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak 410,284 jumlah pemberian, diikuti dengan Daerah Belait sebanyak 85,185 jumlah pemberian.

Manakala Daerah Tutong mencatat-kan sebanyak 73,889 jumlah pemberian, dan Daerah Temburong mencatatkan sebanyak 71,363 jumlah pemberian.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa sidang media harian di Kementerian Kesihatan, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani