3 angkasawan selamat pulang

DZHEZKAZGAN, 25 JUN – Kru angkasawan pertama ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS), susulan kemalangan pelancaran yang meningkatkan keraguan berhubung program angkasa lepas Rusia, tiba di bumi pagi ini.

Angkasawan Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Amerika Syarikat (NASA), Anne McClain; angkasawan veteran Rusia, Oleg Kononenko dan pemegang rekod Agensi Angkasa Lepas Kanada, mendarat di padang rumput di Kazakhstan pada jam 8:47 pagi waktu tempatan.

Pelancaran ketiga-tiga mereka pada 3 Disember lalu adalah yang pertama selepas roket Soyuz membawa angkasawan Rusia, Aleksey Ovchinin dan angkasawan AS, Nick Hague gagal ke angkasa lepas pada Oktober beberapa minit sejurus berlepas, memaksa mereka melakukan pendaratan cemas.

Mereka tidak cedera tetapi kegagalan pelancaran itu adalah yang pertama seumpama itu dalam sejarah selepas era Soviet di Rusia dan tamparan baharu kepada industri angkasa lepas negara yang pernah dibanggakan satu ketika dahulu. McClain, Kononenko dan Saint-Jacques bersikap optimis menjelang pelancaran yang berjaya itu dan kekal dalam keadaan itu sepanjang mereka berada dalam makmal orbit yang dilihat sebagai contoh kerjasama jarang berlaku antara Rusia dan Barat.

“Malam yang indah melepasi Afrika pada malam terakhir saya di @ISS,” menurut ciapan McClain, 40, yang menamatkan dua ‘spacewalking’ dalam misi pertama ke ISS.

Saint-Jacques memecahkan rekod untuk penerbangan angkasa individual terpanjang oleh angkasawan Kanada, yang sebelum ini dipegang oleh Robert Thirsk.

Thirsk mencatatkan 187 hari di ISS pada 2009 semasa misi enam bulan, manakala misi Saint-Jacques berusia 49 tahun itu mencatatkan 204 hari. – AFP

Para kakitangan ketika membantu angkasawan NASA Anne McClain sejurus selepas mendarat di kawasan terpencil di luar bandar Dzhezkazgan (Zhezkazgan), Kazakhstan, kelmarin. – AFP