3 askar maut dalam letupan bom kereta

KABUL, 24 OGOS – Sekurang-kurangnya tiga anggota keselamatan Afghanistan terbunuh dan enam yang lain cedera dalam kejadian letupan bom kereta yang menyasarkan pejabat daerah Dih Yak, wilayah timur Ghazni pada Isnin.

“Militan Taliban menyerbu pusat pemeriksaan keselamatan di lokasi berlainan di Dih Yak sebelum subuh. Pengebom bunuh diri turut meletupkan kereta di pejabat daerah itu, menyebabkan ada yang terkorban,” kata jurucakap pejabat daerah Wahidullah Jumazada kepada Xinhua.

Jurucakap itu berkata militan cuba mengusir tentera Afghanistan dari daerah itu dan mahu menguasai pejabat kerajaan, bagaimanapun tentera Afghanistan berjaya menggagalkan rancangan mereka.

Kejadian turut menyebabkan kerosakan di pejabat daerah dan bangunan berhampiran. – Bernama