WASHINGTON, 3 JUN – Bandar Los Angeles, Chicago dan Philadelphia telah merekodkan kes pertama disyaki cacar monyet dan semua sampel sudah dihantar ke Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) untuk pengesahan, menurut laporan agensi Anadolu kelmarin.
Kes di Los Angeles berpunca daripada seorang penduduk yang baru-baru ini mengembara dan mempunyai kontak rapat dengan satu kes, menurut jabatan kesihatan awam bandar itu.
Pesakit itu dikatakan mengalami gejala dan kini dikuarantin.
Jabatan itu sedang menyiasat dan menjalankan pengesanan kontak rapat tetapi mengekalkan risiko penularan pada tahap sangat rendah.
Sementara itu, Agensi kesihatan Chicago memaklumkan satu kes disyaki cacar monyet dikesan pada seorang individu yang baru pulang dari Eropah.
Philadelphia pula enggan mendedahkan maklumat mengenai pesakit bagi melindungi privasi rakyatnya, tetapi individu berkenaan dilaporkan sedang bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan untuk mengenal pasti kontak rapat.
CDC sebelum ini mengesahkan sebanyak 21 kes cacar monyet telah dikesan di 11 buah negeri, termasuk empat di California dan New York.
Jumlah kes tertinggi membabitkan golongan gay, dan biseksual, tambah kenyataan tersebut. – Bernama