3 baru pulang dijangkiti semula di Thailand

BANGKOK, 6 SEPT – Thailand melaporkan enam kes COVID-19 baharu, termasuk tiga warganya yang kembali dari Singapura dan dijangkiti semula dengan virus yang boleh membawa maut itu.

Dalam satu kenyataan, Pusat Pentadbiran bagi Situasi COVID-19 (CCSA) maklumkan bahawa ketiga-tiga lelaki yang berumur antara 43 dan 56 tahun itu telah disahkan positif COVID-19 semasa di Singapura.

Bagaimanapun, CCSA tidak menyatakan bila ketiga-tiganya dijangkiti di sana.

“Setelah pulih daripada virus itu, mereka kembali ke Thailand pada Jumaat. Mereka disahkan positif COVID-19 semasa tiba. Buat masa ini, mereka menerima rawatan di sebuah hospital di Bangkok,” katanya.

Sementara itu, tiga kes COVID-19 baharu yang lain melibatkan dua wanita Thailand berusia 46 dan 83 tahun yang kembali dari Amerika Syarikat dan seorang lelaki Perancis berusia 46 tahun yang datang dari United Kingdom.

Setakat ini, Thailand telah melaporkan 3,444 kes COVID-19 dengan 58 kematian. Sebanyak 3,281 pesakit telah pulih dan dibenarkan keluar hospital sementara 105 masih dirawat di hospital. – Bernama