Saturday, June 10, 2023
22.5 C
Brunei

    -

    3 dicekup curi kabel telekomunikasi

    Oleh Yusrin Junaidi

    TEMBURONG, 29 OGOS – Tiga orang suspek dipercayai terlibat dengan kegiatan curi kabel milik Syarikat UNN di kawasan Kampung Sibulu, Daerah Temburong berjaya ditahan oleh anggota Balai Polis Bangar, Daerah Polis Temburong, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), hari ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan PPDB, insiden curi telah dilaporkan berlaku kelmarin (28 Ogos) sekali gus menggerakkan keanggotaan balai serta petugas pegawai keselamatan Daimun bagi membantu membuat rondaan di kawasan berkenaan.

    Hasil daripada pemantauan yang dijalankan dan maklumat yang diperolehi telah membawa kepada penahanan tiga orang suspek tersebut semasa dalam kenderaan di kawasan Jalan Bangar kira-kira 9:55 pagi tadi.

    Sejurus pemeriksaan dijalankan di bahagian bonet kenderaan suspek telah menemukan sejumlah wayar-wayar besi dan tembaga dipercayai potongan wayar kabel yang telah dicuri.

    Turut ditemukan ialah peralatan yang dipercayai digunakan untuk kegiatan penyalahgunaan dadah.

    Suspek pertama dan kedua adalah lelaki yang berumur 33 dan 36 tahun, manakala suspek ketiga merupakan perempuan berumur 24 tahun dengan ketiga-tiga suspek merupakan warganegara tempatan.

    Beberapa peralatan dan perkakas untuk kegiatan mencuri kabel telah dirampas dan dijadikan bahan bukti bagi kertas penyiasatan. Kesemua suspek dibawa ke Balai Polis Bangar bagi siasatan dan untuk siasatan lanjut pihak Biro Kawalan Narkotik (BKN).

    Kesemua suspek akan didakwa di bawah Seksyen 379, Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22, yang boleh dihukum penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali dan juga di bawah Seksyen 427, akta yang sama yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan sebatan atau kedua-duanya sekali.

    PPDB menyarankan orang ramai untuk sentiasa mengongsikan sebarang maklumat yang melibatkan kegiatan jenayah melalui talian 993 ataupun ke balai-balai polis yang berdekatan.

    Kabel Syarikat UNN ditemui di bonet kereta suspek. – Gambar serahan PPDB

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Kucing peliharaan bunuh 300 juta haiwan di Australia

    CANBERRA, 9 JUN - Kucing peliharaan membunuh ratusan juta haiwan asli Australia setiap tahun, lapor Xinhua memetik penyelidikan Australia. Menurut laporan baharu Majlis Biodiversiti, Majlis Spesies...
    - Advertisment -