3 dicekup curi kayu gaharu

Oleh Yusrin Junaidi
Gambar serahan PPDB

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 JULAI – Tiga individu yang terdiri daripada dua warga tempatan dan seorang warga Indonesia telah ditahan kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti mengambil kayu gaharu secara haram dalam operasi rondaan keanggotaan Pasukan Simpanan Polis ‘C’ Kompeni, Jabatan Gerakan, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), semalam.

Mereka yang ditahan berumur dalam lingkungan 32 hingga 34 tahun, dipercayai terlibat dengan kegiatan mencuri kayu gaharu di kawasan hutan Kampung Puni, Daerah Temburong.

Menurut kenyataan yang diberikan, kegiatan mereka dikesan hasil usaha berterusan daripada maklumat orang ramai dan pemantauan yang dijalankan oleh pihak polis sehingga berjaya membuat penahanan berserta penemuan barang-barang bukti.

Kenyataan menyatakan, PPDB juga membuat peme-riksaan di kem berteduh para suspek dan menemukan perkakas seperti parang, gergaji rantai dan sejumlah pahat ukir dipercayai digunakan untuk mengambil kayu gaharu.

Kesemua suspek dan barang rampasan ditahan dan dibawa ke Balai Polis Bangar, Temburong dan akan berdepan dengan pertuduhan di bawah Akta Hutan Penggal 46.

Dalam masa yang sama, pihak PPDB akan sentiasa meningkatkan usaha melalui perkongsian maklumat penduduk kampung dalam sama-sama memastikan hutan negara ini sentiasa terpelihara daripada pencerobohan serta pencurian hasil negara.

Kayu gaharu dan perkakasan untuk mencuri kayu gaharu di Daerah Temburong yang dirampas semasa operasi tersebut.
Pemangku Pegawai Pemerintah Pasukan Simpanan Polis menunjukkkan perkakasan yang digunakan untuk mengambil kayu gaharu secara haram.