3% guru di Labuan belum divaksin

LABUAN, 3 OGOS – Sebilangan kecil guru sekolah di sini masih belum menerima vaksin COVID-19, menjelang pembukaan semula sekolah pada 1 Sept.

Pengarah Jabatan Pendidikan Labuan Yusup Mohamad berkata guru yang belum menerima vaksin itu kebanyakannya wanita merupakan tiga peratus (40) daripada 1,332 jumlah guru sekolah di Labuan. 

“Kami telah menerima maklum balas daripada guru-guru yang belum divaksin ini mengapa mereka belum divaksin. Dua puluh daripada mereka baru melahirkan anak (antara Jun dan Julai) atau sedang hamil, manakala baki 20 lagi menghidap pelbagai penyakit kronik seperti kanser, jantung, alahan suntikan dan komplikasi paru-paru,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata taklimat vaksin oleh Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari akan diadakan esok kepada guru-guru yang masih belum divaksin.

“Kami mahu setiap guru diberi vaksin sebelum sekolah dibuka bulan depan, dan ini adalah inisiatif kami ke arah mencapai 100 peratus imuniti kelompok bagi guru sekolah di Labuan,” kata Yusup. – Bernama

Vaksinator kesihatan memberikan suntikan kepada penerima dos kedua vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech pada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) secara pandu lalu di Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), baru-baru ini. – Bernama