Saturday, October 12, 2024
29.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    3 guru PGGMB sertai program penempatan mengajar di Thailand

    Oleh Sim Y. H.

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Sept – Bagi memberikan peluang kepada guru-guru tempatan mempelajari dan memahami kaedah pengajaran di sekolah-sekolah di negara anggota ASEAN, tiga orang guru dari Persekutuan Guru-guru Melayu Brunei (PGGMB) telah berlepas ke Thailand kelmarin bagi memulakan program penempatan mengajar selama dua minggu di salah sebuah sekolah swasta di Bangkok.

    Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei untuk mengucapkan selamat berlayar kepada rombongan berkenaan ialah Yang Di-Pertua PGGMB, Haji Antin bin Ahad, para pegawai PGGMB serta ahli keluarga para guru yang menyertai program berkenaan.

    Tiga orang guru berkenaan ialah Dayang Hanisah binti Haji Murni dari Sekolah PGGMB Sungai Akar, Dayang Nuraqilah binti Abdullah Wong dari Sekolah Tunas Jaya Madang dan Dayang Noridah binti Abdullah dari Sekolah Tunas Jaya PGGMB Lambak.

    Mereka dipilih untuk mengajar mata pelajaran Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains di Sekolah Islamsriayuthaya di Daerah Ayutthaya, Bangkok dari 22 September hingga 5 Oktober depan.

    PGGMB dan Majlis Guru-guru Thailand (KHURUSAPHA) buat julung kalinya membuat perjanjian persefahaman untuk memulakan program penempatan guru di antara kedua-dua pihak yang dipersetujui di Bangkok pada bulan Januari lalu.

    Haji Antin bergambar bersama tiga orang guru yang terpilih untuk menyertai program penempatan mengajar di Bangkok. – Gambar oleh Rahwani Zahari

    Melalui persetujuan persefahaman ini, PGGMB akan menghantar guru-guru untuk ditempatkan mengajar di sekolah-sekolah di Thailand, manakala KHURUSAPHA pula akan menghantar guru-guru mereka ke negara ini untuk mengajar di sekolah-sekolah PGGMB dari 7 hingga 10 Oktober nanti.

    Di samping mempelajari kebudayaan negara anggota, ia juga bertujuan untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang pendidikan.

    PGGMB dan KHURUSAPHA merupakan ahli Majlis Guru-guru ASEAN.

    Selain itu, KHURUSAPHA juga merupakan sebuah persatuan perguruan yang ternama di Thailand.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda