Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Sept – Tiga lelaki tempatan yang berdepan pertuduhan di bawah Akta Pasport, masing-masing dihukum denda oleh Mahkamah Majistret, hari ini.
Shahrul Afandi bin Ahmad Bukhari @ Seherol Hapandi anak Bakat, 28, dikenakan denda $3,000 atau berdepan dua bulan penjara kerana membantu membawa masuk Syazwan anak Jingan, 23, dan Iswanddy anak Jingan, 24, ke negara ini dari Limbang, dengan menyembunyikan mereka di tempat duduk belakang dan dalam but kereta.
Syazwan dan Iswanddy, masing-masing dijatuhi denda $500 atau berdepan sebulan penjara atas pertuduhan gagal mengemukakan passport mereka kepada pegawai imigresen ketika memasuki negara ini.
Hukuman ke atas ketiga-tiga tertuduh dijatuhkan Majistret Kanan Azrimah binti Haji Abdul Rahman.
Kertas pertuduhan menyebut, pada 8 Jun 2014, Shahrul Afandi berjaya melepasi Kaunter Imigresen Pos Kawalan Kuala Lurah selepas mengemukakan pasportnya kepada pegawai bertugas namun ketika berada di kaunter kastam, tindakannya yang menyembunyikan Syazwan dan Iswanddy di dalam kereta diketahui oleh pegawai kastam yang menjalankan pemeriksaan.
Siasatan mendapati Syazwan dan Iswanddy telah keluar dari negara ini pada 7 Jun 2014 melalui Kampung Bebuloh, tanpa mengemukakan pasport kepada pegawai imigresen di Pos Kawalan Imigresen Kuala Lurah.
Shahrul Afandi memberitahu yang dia bertemu Syazwan dan Iswanddy yang ketika itu sedang minum arak berhampiran dengan keretanya semasa di Limbang.
Dia secara sukarela membantu kedua-duanya yang tidak memiliki pasport untuk masuk semula ke negara ini dengan menyembunyikan mereka di dalam kereta.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Hajah Atiyyah binti Haji Abas.