Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 DIS – Selepas enam bulan dipinjamkan (seconded) di Bank Baiduri, tiga orang kakitangan Royal Brunei (RB) diraikan dalam majlis penutup yang berlangsung di Ruang Komuniti Baiduri, Ibu Pejabat Bank Baiduri, baru-baru ini.
Hadir pada majlis itu ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Pematuhan, Tadbir Urus Korporat dan Sokongan Undang-undang, Bank Baiduri, Manuel Bulens.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Bank Baiduri, di sini, semasa tempoh pinjaman itu, mereka telah terlibat dalam peranan berkaitan dengan perkhidmatan pelanggan di mana mereka berpeluang untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman bernilai kepada petugas-petugas barisan hadapan.
Kakitangan RB yang dipinjamkan itu juga membantu dalam beberapa bengkel latihan yang menumpukan kepada dandanan dan tatasusila serta melaksanakan Kempen Berpakaian Kemas sebagai sebahagian daripada transformasi budaya perkhidmatan Bank Baiduri.
Menurut Ketua Pentadbiran dan Sumber Manusia Kumpulan Bank Baiduri, Veronica Chong, program pinjaman itu memberikan peluang bagi kedua-dua organisasi untuk meningkatkan kemahiran kakitangan, penglibatan dan memperbaiki kemahiran berkomunikasi secara menyeluruh.
Kakitangan RB yang dipinjamkan juga adalah reseptif kepada persekitaran dan budaya kerja unik bank berkenaan serta telah memberikan impak yang besar semasa tempoh pinjaman mereka, tambahnya.
Beliau seterusnya menekankan bahawa kolaborasi seumpama itu, memberikan nilai tambah yang amat tinggi kepada perjalanan transformasi Bank Baiduri dalam meningkatkan pengalaman pelanggan.
Ketua Pengalaman Pelanggan Kumpulan, Bank Baiduri, Shannon Sikun melahirkan harapan agar pihak memperoleh pengalaman yang baharu di sepanjang perjalanan itu.
Kakitangan RB berkenan adalah amat instrumental dalam usaha Bank Baiduri menuju ke arah memupuk budaya berpusatkan pelanggan.
Dengan rekod yang kukuh dalam kecemerlangan perkhidmatan dan inovasi produk, RB dan Bank Baiduri telah menubuhkan komitmen untuk melabur dalam membangun dan mengembangkan skop warganya menerusi program pinjaman berkenaan.