3 kampung bakal dapat masjid baharu

Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan JKR

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 OKT – Tiga buah masjid yang baharu bakal dibina di Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Mengkubau, RPN Kampung Meragang dan Kampung Junjongan.

Sehubungan dengan itu, Majlis Penandatanganan Kontrak bagi Projek-projek Pembinaan Masjid Baharu berlangsung secara maya, hari ini, dihadiri tetamu kehormat serta disaksikan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi bin Haji Gafar.

Menurut kenyataan dikeluarkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), projek-projek ditandatangani itu ialah Projek Pembinaan Masjid Baharu RPN Kampung Mengkubau, Projek Pembinaan Masjid Baharu RPN Kampung Meragang dan Projek Pembinaan Masjid Kampung Junjongan.

Turut menyaksikan majlis penandatanganan kontrak maya itu ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; Timbalan Menteri Pembangunan, Dato Seri Paduka Ar Haji Marzuke bin Haji Mohsin serta setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan-timbalan setiausaha tetap kedua-dua buah kementerian.

Menandatangani bagi Projek Pembinaan Masjid Baharu RPN Kampung Mengkubau ialah Pengarah Kemajuan, JKR, Ir Salfawatty binti Haji Mohd Salleh dan Borneo United Enterprise Sdn Bhd, Stanley Lim Hock Ghim, bagi Projek Pembinaan Masjid Baharu RPN Kampung Meragang ialah Ir Salfawatty dan W.LW. Developer & Trading Co Sdn Bhd, Wong Let Woon serta bagi Projek Pembinaan Masjid Baharu Kampung Junjongan ialah Pemangku Pengarah Perkhidmatan Teknikal, JKR, Pengiran Haji Zulkarnain bin Pengiran Haji Ismail dan Serikandi Oilfield Services Sdn Bhd ialah Shaikh Khalid bin Shaikh Haji Ahmad.

Penandatanganan projek-projek diadakan di Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya dengan mematuhi nasihat dan garis panduan yang telah disediakan oleh Kementerian Kesihatan.

Majlis penandatanganan itu diakhiri dengan sesi taklimat mengenai projek-projek berkenaan.

Projek Pembinaan Masjid Baharu RPN Kampung Mengkubau dianugerahkan kepada kontraktor, Borneo United Enterprise Sdn Bhd di mana harga kontrak ialah $4,332,658.70 dengan tempoh projek 16 bulan yang mampu menampung kapasiti 2,113 jemaah.

Projek masjid Kampung Meragang pula dianugerahkan kepada kontraktor, W.LW. Developer & Trading Co Sdn Bhd bernilai $4,300,000 dengan tempoh 16 bulan dan mampu menampung seramai 2,200 jemaah.

Projek Masjid Kampung Junjongan pula dianugerahkan kepada kontraktor Serikandi Oilfield Services Sdn Bhd bernilai $4,991,896.52 (tabung dana) bagi merobohkan masjid lama dan membina masjid baharu dengan kapasiti 1,624 orang jemaah.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama dan Menteri Pembangunan semasa menghadiri majlis penandatanganan secara maya.
Ilustrasi Masjid RPN Kampung Meragang yang bakal dibina.