Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 MAC – Setelah menerima saranan dan nasihat daripada pihak-pihak tertentu, beberapa kejohanan bola sepak terpaksa ditangguhkan demi mencegah penularan wabak COVID-19.
Antaranya perlawanan Liga Super Brunei akan ditangguhkan buat sementara waktu sehingga notis lebih lanjut dikeluarkan.
Perkara tersebut diumumkan oleh Persatuan Bola Sepak Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (NFABD) dalam kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini.
Sementara itu, Kejohanan Bolasepak Universiti Brunei Darussalam (UBD) 2020 Antara Institusi-Institusi Pengajian Tinggi dan acara pembukaan rasmi kejohanan itu juga telah ditangguhkan dengan serta merta kepada satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.
Penangguhan ini adalah nasihat daripada Pihak Pentadbiran UBD disebabkan penularan COVID-19.
Manakala Liga TDAFA juga turut dibatalkan sehingga makluman dikeluarkan bagi menentukan semula tarikh perlawanan.
Pihak NFABD, UBD dan TDAFA memohon maaf diatas segala kesulitan dan kesukaran yang berlaku.
NFABD dalam kenyataannya juga mendoakan semoga semua rakyat Negara Brunei Darussalam di bawah lindungan Allah SWT dan dijauhkan daripada segala bala bencana.
