3 kertas kerja terbaik ICBEF ke-3 terima anugerah

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 NOV – Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Brunei Darussalam (UBDSBE) telah menghoskan Persidangan Antarabangsa bagi Perniagaan, Ekonomi dan Kewangan (ICBEF) ke-3 yang berlangsung secara maya selama tiga hingga kelmarin.

Menurut kenyataan UBD, majlis penutup persidangan bertema ‘Paradigma Perniagaan Baharu semasa Ketidakpastian Ekonomi’ itu telah menyaksikan sesi penganugerahan kertas kerja terbaik mengikut aliran-aliran tertentu.

Bagi aliran perniagaan, anugerah kertas terbaik dimenangi oleh Suhbpong Smithtun dari Universiti Silpakorn, Thailand dengan mengetengahkan tajuk Antecedents of Exhibitors’ Acceptance Towards Progressive Rates of Exhibition Space Rental in Thailand.

Anugerah kertas terbaik bagi aliran kewangan pula dimenangi Jason Lih Cheng Kok dari Bank Pusat Brunei Darussalam (BDCB) yang membentangkan tajuk Reviewing the Returns for Brunei Darussalam’s Pension System.

Sementara itu, anugerah kertas terbaik aliran ekonomi pula dirangkul oleh Dr Hazwan Haini dari UBDSBE dengan kertas kerjanya yang bertajuk Examining the Spatial Spillover Effects of ICT on Economic Growth: Evidence from the ASEAN Economies.

Kenyataan menyatakan, kertas-kertas kerja terpilih akan dipertimbangkan untuk diterbitkan dalam Jurnal Pengurusan Dasar Sains dan Teknologi, Jurnal Antarabangsa Perniagaan dan Pengurusan Maklumat Asia (IJABIM) dan Jurnal Analisis Perniagaan dan Ekonomi (JBEA) dan juga akan dikongsikan semasa Persidangan Antarabangsa ke-4 pada Ogos 2023.

Dalam pada itu, persidangan berkenaan telah menampilkan sebanyak 16 sesi selari meliputi 64 pembentangan kertas kerja secara keseluruhannya dengan penglibatan seramai 140 orang peserta dari negara-negara di seluruh dunia termasuk Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina, Singapura, Belgium, Amerika Syarikat, United Kingdom, Taiwan dan UAE dan tidak terkecuali Negara Brunei Darussalam.

Memandangkan kepentingan dan keperluan untuk model perniagaan baharu semasa menghadapi situasi terkini, persidangan itu telah didedikasikan kepada dua sesi termasuk sembilan kertas kerja mengenai COVID-19 dan tiga sesi yang terdiri daripada 14 kertas kerja mengenai strategi perniagaan dan pembangunan perniagaan.

Persidangan maya selama tiga hari berakhir dengan majlis penutupan yang menyaksikan sesi penganugerahan kertas kerja terbaik mengikut aliran-aliran tertentu. – Gambar serahan UBD