3 lari tinggalkan 156 botol minuman keras

Oleh Yusrin Junaidi
Gambar serahan PPDB

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 SEPT – Sebanyak 156 botol minuman keras ditemukan semasa rondaan pencegahan jenayah yang dijalankan oleh keanggotaan Balai Polis Temburong di kawasan Kampung Buda-Buda, Temburong, semalam.

Menurut kenyataan Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), rondaan yang dijalankan sekitar pukul 11:50 malam tadi itu telah menyusuri masuk ke kawasan penurunan perahu Kampung Buda-Buda di mana sebuah kenderaan yang mencurigakan didapati diletakkan di kawasan tersebut.

Dalam masa sama, kelihatan kelibat tiga orang individu di mana dua daripadanya sedang memunggah barang manakala seorang lagi berada di dalam perahu.

Dalam masa sama, kelihatan kelibat tiga orang individu di mana dua daripadanya sedang memunggah barang manakala seorang lagi berada di dalam perahu.

Anggota polis segera mengambil tindakan dengan menghampiri mereka dan sejurus menyedari kehadiran pihak polis, ketiga-tiga individu tersebut segera menaiki perahu dan melarikan diri melalui jalan sungai.

Pemeriksaan di tempat kejadian telah mendapati sejumlah bungkusan hitam dipercayai barang tegahan ditemukan berada dalam kereta yang menggunakan nombor pendaftaran negara ini.

Kesemua bahan bukti dibawa ke Balai Polis Temburong bagi siasatan awal dan hasil pemeriksaan telah mendapati sebanyak 156 botol minuman keras dikeluarkan daripada bungkusan dan akan diserahkan kepada Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bagi siasatan lanjut.

Kenyataan menekankan, PPDB melalui Daerah Polis Temburong akan sentiasa meningkatkan lagi rondaan pencegahan jenayah dalam hala tuju pembanterasan dan pengesanan terhadap sebarang aktiviti-aktiviti yang negatif yang melanggar perundangan di negara ini.

Keprihatinan orang ramai juga diutamakan dalam aspek perkongsian maklumat bagi memastikan risikan dan tindakan yang dilakukan terhadap kegiatan-kegiatan seperti penyeludupan ini berhasil dipatahkan sehingga ke akar umbi.

Pihak polis menunjukkan minuman keras yang ditemui di Kampung Buda-Buda, kelmarin.
Kereta mengandungi barang tegahan telah dibawa ke Balai Polis Temburong bagi siasatan.