Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JUN – Tiga lelaki yang berdepan pertuduhan menyerang seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Perantaraan, hari ini.
Yusmadi bin Busrah, 47, didakwa menyerang mangsa berusia 33 tahun menggunakan paip besi manakala dua rakannya, Mohd Keril bin Yusof, 29, menggunakan batang kayu dan Jamal bin Yunus, 48, didakwa mencekik serta mencakar muka mangsa.
Ketiga-tiga tertuduh membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Pengiran Hajah Norismayanti binti Pengiran Haji Ismail yang kemudian menetapkan 9 Julai 2019 untuk menentukan tarikh perbicaraan.
Kejadian didakwa berlaku sekitar tengah hari pada 16 Jun 2019 di Barek Lorong Tiga Selatan, Seria.
Pendakwaan dibuat Timbalan Pendakwa Raya, Syazwani binti Jumat.