3 lelaki samun kedai emas, larikan wang tunai RM1j

KOTA BHARU, 6 MEI – Polis Kelantan memburu tiga lelaki dipercayai menyamun sebuah kedai pajak gadai emas dekat Jalan Besar di Pasir Mas, dalam kejadian kira-kira pukul 4:30 petang, semalam.

Pemangku Ketua Polis Kelantan Da-tuk Muhamad Zaki Harun berkata polis menerima laporan berkaitan kejadian tersebut daripada mangsa pada 4:45 petang yang memaklumkan tiga lelaki bertopeng telah menggunakan senjata menyerupai pistol dan pisau menyamun kedainya.

“Mangsa bersama lima pekerjanya telah diikat serta dipaksa berada di bawah meja sebelum penyamun itu mengarahkan mangsa membuka laci di dalam peti besi.

“Suspek turut meminta mangsa mengisi wang tunai dianggarkan berjumlah RM1,000,000 dan pelbagai barangan kemas di dalam beg yang telah disediakannya,” katanya dalam kenyataan hari ini, yang turut menambah suspek juga telah melarikan kereta Jenis Perodua Alza berwarna putih milik mangsa.

Muhamad Zaki berkata bertindak atas laporan dan maklumat yang diterima, pihaknya telah mengadakan Op Tutup dan Sekatan Jalan Raya (SJR) di seluruh Kelantan serta mengatur gerak pasukan daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Pasukan Gerakan Am (PGA) ke pintu-pintu sempadan dengan Thailand dan juga pangkalan haram bagi mengesan suspek dan kenderaan yang dilarikan.

“Susulan daripada itu, lebih kurang pukul 12:30 tengah malam, sepasukan pegawai dan anggota Strike Force

Kompeni B Batalion 8 PGA yang membuat rondaan di kawasan Kuala Jambu, Pengkalan Kubor telah ternampak kenderaan milik mangsa ditinggalkan di tepi jalan dalam keadaan yang mencurigakan.

“Kenderaan tidak berkunci dan kunci kenderaan tersebut berada di atas kerusi penumpang hadapan. Hasil semakan mendapati kenderaan itu berkait dengan kes rompakan kedai pajak gadai emas di Pasir Mas sebelum itu,” katanya yang telah memanggil mangsa serta beberapa saksi kejadian untuk membantu siasatan dan tindakan lanjut. – Bernama