SIBU, 17 April – Tiga orang maut dan enam orang lagi cedera dalam dua kemalangan jalan raya berasi-ngan di daerah Mukah dan Sarikei semalam. Dalam kemalangan di Mukah, seorang pemandu lori dan seorang penumpang maut di tempat kejadian manakala seorang lagi penumpang cedera dalam kemalangan sendiri di Jalan Mukah-Balingian kira-kira 7:30 malam.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Jimmy Panyau berkata pemandu yang maut dikenali sebagai Edin Mil, 22, dari Kapit manakala penumpang yang maut ialah Jacky Jasam, 23, dari Betong.
Penumpang yang cedera ringan ialah Augustine Donul Gasan, 19, yang berasal dari Miri.
“Semasa kejadian, lori dinaiki mereka hilang kawalan dan terbabas sebelum merempuh pencawang elektrik di bahu jalan mengakibatkan lori remuk.
Dalam kejadian di Sarikei pula, seorang peniaga wanita maut manakala suaminya patah kaki apabila kereta mereka terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 4:10 petang dengan sebuah van dinaiki empat anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berusia 26 hingga 36 tahun.
Ketua Polis Daerah Sarikei, Superintenden Mat Jusoh Muham-mad berkata, peniaga wanita yang maut itu dikenali sebagai Normadiah Awie manakala suami-nya Samarin Mat, kedua-duanya berusia 57 tahun.
Beliau berkata hasil siasatan awal mendapati kereta jenis Proton Saga yang dipandu suami peniaga wanita tersebut dalam perjalanan dari arah Sibu ke Kabong manakala van berkenaan pula dari arah Kuching ke Bintulu.
Mat Jusoh berkata pemandu van gagal mengawal kenderaan kerana permukaan jalan yang licin akibat hujan, lalu terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kenderaan dinaiki pasangan berkenaan.
Anggota SPRM terbabit dilaporkan mengalami kecederaan ringan. – Bernama