3 maut, 85 cedera gempa di Sichuan

CHENGDU, 16 SEPT – Tiga orang disahkan meninggal dunia manakala 85 yang lain dikejarkan ke hospital selepas gempa bumi berkekuatan 6.0 pada skala Richter menggegarkan daerah Luxian di bandar Luzhou, wilayah Sichuan, barat daya China.

Tiga daripada mangsa yang dikejarkan ke hospital dilaporkan mengalami kecederaan parah, menurut agensi berita Xinhua, memetik biro pengurusan kecemasan bandar Luzhou.

Menurut Pusat Rangkaian Gempa Bumi China, gempa berlaku pada 4:33 pagi. Pusat gempa dipantau pada 29.2 darjah utara dan 105.34 darjah timur pada kedalaman 10 kilometer.

Jabatan Geologi Amerika Syarikat meletakkan gempa bumi itu pada magnitud 5.4 skala Richter namun pusat itu mengukurnya pada magnitud 6.

Dalam pada itu, anggota bomba dan penyelamat turut bertindak pantas mengeluarkan mangsa daripada runtuhan, mengeluarkan mereka daripada bangunan rosak, menurut satu rakaman dari Balai bomba Sichuan.

Lebih 1,000 rumah di Luxian runtuh dan hampir 30,000 yang lain rosak, kata pihak berkuasa Sichuan.

Imej-imej keruntuhan termasuk siling sebuah hospital disiarkan dalam akhbar-akhbar tempatan ketika penduduk berhimpun di jalanan selepas diberi amaran untuk tidak berada dalam bangunan atau rumah.

Sekurang-kurangnya 10,000 orang sudah pun dipindahkan ke tempat perlindungan kecemasan, menurut kerajaan tempatan. – Bernama/AFP

Penduduk menerima rawatan selepas cedera semasa gempa bumi bermagnitud 5.4 di Luzhou, wilayah Sichuan, China, 16 September. – AFP