3 maut kereta api bertembung

JOHANNESBURG, 9 Jan – Kira-kira tiga orang terbunuh dan 620 lagi cedera selepas dua buah kereta api penumpang bertembung di Afrika Selatan, kelmarin, memetik media tempatan.

Menurut Xinhua, kejadian membabitkan kereta api milik Metrorail di bawah Agensi Kereta Api Penumpang Afrika Selatan (PRASA), syarikat milik negara yang bertanggungjawab ke atas kebanyakan perkhidmatan penumpang di negara itu.

Kedua-dua kereta api berkenaan dalam perjalanan menuju ke Pretoria dari Mabopane dan nahas berlaku di stesen Mountain View di Pretoria, kata jurucakap Metrorail, Lillian Mofokeng.

Ketika kejadian terdapat kira-kira 800 penumpang.

Menteri Pengangkutan Blade Nzimande yang melawat lokasi nahas, sedih serta kesal dengan kejadian itu dan pihak pengurusan PRASA perlu bertanggungjawab terhadap insiden berkenaan.

Kereta api kelihatan remuk teruk selepas bertembung di stesen Mountain View di Pretoria, Afrika Selatan. – AP

Beliau turut menyalahkan syarikat keselamatan yang dilantik Metrorail, meskipun syarikat itu telah dibayar ratusan ringgit, namun masih tidak terdapat perubahan besar terhadap tahap keselamatan landasan.

“Banyak duit telah diperuntukkan untuk keselamatan tetapi kejadian mencuri kabel terus berlaku?,” katanya kepada pemberita.

Nzimande berkata kecurian kabel menyebabkan kerosakan sistem isyarat dan operasi terpaksa dilakukan secara manual mengakibatkan kesilapan dalam komunikasi.

“Kejadian hari ini pasti berlaku kesilapan komunikasi,” katanya yang mahukan pihak PRASA memberikan jawapan berhubung perkara itu secepat mungkin selain menyatakan tindakan yang harus dilakukan untuk menangani kelemahan aspek keselamatan.

Jurucakap Metrorail, Lillian Mofokeng berkata punca nahas akan diketahui sebaik siasatan selesai dijalankan.

Kemalangan kereta api sering berlaku di Afrika Selatan.

Pada Oktober dua kereta api Metrorail bertembung di Wilayah Gauteng menyebabkan ramai yang cedera, manakala pada September dua buah kereta api bertembung di selatan Johannesburg menyebabkan 100 penumpang cedera. – Bernama