Wednesday, November 13, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    3 negara setuju lantik POC

    TENOM,13 Ogos – Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata negara Indonesia, Malaysia dan Filipina pada mesyuarat INDOMALPHI Trilateral Intelex memutuskan agar setiap negara melantik ‘orang hubungan’ (POC) daripada kalangan anggota tentera dan polis untuk memudahkan urusan pertukaran maklumat risikan berhubung ancaman keselamatan termasuk daripada kumpulan Daesh.

    Hishammuddin berkata, dalam mesyuarat yang julung kalinya diadakan melibatkan ketiga-ketiga negara berjiran di Manila, Filipina baru-baru in, Malaysia diwakili oleh Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Pengarah Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    Katanya mesyuarat berkenaan diadakan susulan pertemuan wakil ketiga-tiga negara sewaktu menghadiri Persidangan ‘Trilateral Meeting On Security Among The Philippines, Indonesia and Malaysia’ pada bulan lalu.

    Selain itu, kata Hishammuddin, semasa mesyuarat tersebut, ketiga-tiga negara turut bersetuju agar perbincangan dan perjumpaan antara wakil dari setiap negara mesti dilaksanakan setiap tiga bulan mengikut giliran dan Malaysia dilantik sebagai penganjur bagi persidangan kedua yang dijangka berlangsung pada bulan Oktober 2017.

    “Sesungguhnya, inisiatif ini amat penting dan bersejarah bagi Malaysia, Indonesia dan Filipina kerana ia menjadi kerjasama pertama melibatkan ketiga-ketiga negara yang menggabungkan elemen ketenteraan dan kepolisan bagi membincangkan dan berkongsi maklumat perisikan,” katanya dalam kenyataan yang diedarkan di sini selepas beliau merasmikan Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Zon 4 di sini hari ini.

    Menurut Hishammuddin yang juga Menteri Tugas-tugas Khas, beliau menganggap pendekatan berkenaan sebagai tepat pada masanya serta berupaya membawa impak positif terhadap usaha menangani ancaman keganasan di rantau Asia Tenggara.

    Katanya Kementerian Pertahanan dan ATM akan memberi komitmen sepenuhnya dan sedia menyumbang apa juga bentuk perkongsian yang diperkirakan berupaya membantu menjayakan inisiatif berkenaan.

    “Malah, sebelum ini, saya sendiri bersama rakan sejawat saya, Menteri Pertahanan Indonesia Ryamizard Ryacudu dan Setiausaha Pertahanan Filipina, Delfin Negrillo Lorenzana telah beberapa kali mengadakan pertemuan dan perbincangan seterusnya memutuskan untuk melaksanakan pelbagai bentuk kerjasama pertahanan termasuk berkongsi maklumat risikan,” katanya.

    Justeru kata Hishammuddin, beliau amat gembira dengan perkembangan terbaru itu kerana usaha ketiga-tiga negara berkenaan sebelum ini telah diterjemahkan menerusi pelaksanaan inisiatif berkenaan. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda