Saturday, April 20, 2024
23.6 C
Brunei

    -

    3 notis amaran, 1 sita dikeluarkan

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar serahan JPES

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 MEI – Tiga Notis Amaran telah dikeluarkan ke atas dua buah premis perniagaan oleh Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) dan satu Notis Penyitaan telah dikeluarkan ke atas sebuah premis perniagaan oleh Unit Sukatan dan Timbangan (SDT) semasa pemeriksaan bersepadu bulanan bagi Mei 2023 di premis-premis perniagaan di Daerah Tutong.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini, pemeriksaan bersepadu bulanan JPES melalui Jabatan Hal Ehwal Pengguna bersama Unit SDT, Bahagian Industri dan Ekosistem Perniagaan di bawah Kementerian Kewangan dan Ekonomi itu menyasarkan premis-premis perniagaan di dua buah mukim iaitu Mukim Kiudang dan Mukim Keriam di daerah tersebut.

    Berikutan pemeriksaan yang dibuat, pihak JPES telah mengeluarkan tiga Notis Amaran bagi kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga, Penggal 142 iaitu menjual melebihi harga maksimum yang ditetapkan bagi minyak masak dan tidak mempamerkan tanda harga bagi beberapa barangan termasuk minyak masak, susu tepung anak damit, tisu dapur dan barangan penyegar udara.

    Para peniaga turut disarankan untuk sentiasa menyemak dan mengemas kini harga terutama bagi barangan yang dikawal harga dan dinasihatkan untuk sentiasa mempamerkan tanda harga ke atas barangan yang dijual.

    Manakala itu, pihak Unit SDT telah mengeluarkan satu Notis Penyitaan ke atas sebuah premis perniagaan kerana gagal mematuhi Akta Sukatan dan Timbangan, Penggal 151 Ceraian 10 yang mana menggunakan alat sukatan yang telah rosak.

    Penguat kuasa JPES semasa melakukan pemeriksaan di salah sebuah premis perniagaan di Daerah Tutong.

    Pihak syarikat dikehendaki hadir ke pejabat Unit SDT dalam tempoh tujuh hari waktu bekerja dari tarikh notis dikeluarkan untuk memperbetulkan isu berkenaan. Kesemua alat berkenaan telah disita.

    Oleh itu, para peniaga diingatkan untuk sentiasa peka dan mematuhi undang-undang yang sedia ada dalam membantu negara membangunkan persekitaran perniagaan yang berdaya tahan dan mampan dengan menjalankan perniagaan yang wajar dan beretika iaitu memastikan barangan yang dijual tidak melebihi harga maksimum ditetapkan, memaparkan tanda harga jelas dan tidak mengelirukan.

    Selain itu, para peniaga juga dinasihatkan untuk memastikan semua alat sukat dan timbang yang digunakan untuk tujuan perdagangan atau perniagaan hendaklah sah, tepat dan berdaftar dengan Unit SDT.

    Orang ramai disarankan untuk menggunakan saluran-saluran rasmi bagi sebarang aduan dan pertanyaan lanjut iaitu bagi Akta Kawalan Harga, Penggal 142 melalui Jabatan Hal Ehwal Pengguna di JPES melalui Talian Darussalam 123 (TD123), aplikasi mudah alih, PenggunaBijak atau e-mel kepada aduanpengguna@ipes.

    gov.bn serta Akta Sukatan dan Timbangan, Penggal 151 melalui Unit SDT, Bahagian Industri dan Ekosistem Perniagaan di talian, 2334092 atau e-mel, sdt@mofe.gov.bn.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...