3 pelanggan Baiduri bawa pulang hadiah menarik

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 OGOS – Bank Baiduri telah mengadakan majlis penyampaian hadiah bagi promosi sempena pelancaran platform Baiduri b.Digital Personel baharu, yang diadakan di Atrium, Ibu Pejabat Bank Baiduri, 1 Jalan Gadong, hari ini.

Pada majlis itu, tiga pemenang bertuah membawa pulang hadiah-hadiah menarik setelah menyertai promosi b.Ready for What Life Has to Offer, yang menggalakkan pelanggan meneroka platform gaya hidup digital baharu itu dan melakukan aktiviti perbankan mereka menerusinya.

Majlis menyaksikan Yeo Jiun Jet membawa pulang Apple iPhone 11 Pro, Dayang Siti Zahidah binti Mohd Kissen membawa pulang Samsung Galaxy S20 Ultra 5G manakala itu, Teo Bee Ching memenangi iPad Pro 11-Inch Wi-Fi.

Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh Ketua Perbankan Digital Bank Baiduri, Goh Wen Feng.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Bank Baiduri, para pemenang dipilih secara rambang sebagai sebahagian daripada pusingan kedua promosi yang berjalan dari awal Mei hingga penghujung Jun lalu.

Pusingan pertama telah berjalan dari awal Mac hingga penghujung April dengan tiga pemenang membawa pulang hadiah-hadiah sama.

Kenyataan menjelaskan, untuk melayakkan pelanggan menyertai cabutan berkenaan, mereka hanya perlu melakukan sebarang transaksi seperti pemindahan dana, pembayaran bilik, tambah nilai telefon atau elektrik.

Transaksi-transaksi pada versi laman sesawang akan memberi pelanggan satu peluang bagi setiap transaksi, sementara transaksi sama pada versi mudah alih akan menggandakan peluang pelanggan.

Di samping itu, para pengguna baharu yang mendaftar bagi platform berkenaan semasa tempoh promosi juga mempunyai peluang lebih besar dengan mendapat lima peluang.

Goh Wen Feng bergambar ramai bersama para pemenang promosi sempena pelancaran platform Baiduri b.Digital Personel. – Gambar serahan Bank Baiduri